Pencemaran Sungai Perak, JAS kenal pasti tiga aktiviti perlombongan

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti tiga aktiviti perlombongan di bahagian hulu Sungai Perak di Gerik, Perak, susulan laporan air sungai itu bertukar warna kebiruan baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata kawasan berkenaan, melibatkan sebuah lombong nadir bumi (REE) dan dua lombong bijih timah.

“Sebelum ini terdapat empat lombong, namun satu daripadanya telah ditutup. Sampel air telah diambil dan kini menunggu keputusan analisis daripada Jabatan Kimia. Siasatan juga dijalankan bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG),” katanya pada Sesi Dialog Ketua Pengarah Alam Sekitar bersama Pengamal Media di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, JAS mengesyaki aktiviti perlombongan berhampiran menjadi punca perubahan warna air sungai itu, namun tidak menolak kemungkinan faktor lain turut menyumbang kepada kejadian tersebut.

“Dalam beberapa kes, pencemaran bukan datang terus dari kilang. Kadangkala ia berpunca daripada bahan kimia yang dibuang ke sungai menggunakan tong atau bekas tertentu, dan apabila berlaku tindak balas kimia, air boleh bertukar warna,” jelasnya.

Wan Abdul Latiff berkata, siasatan lanjut sedang diteruskan dan hasilnya akan dimaklumkan selepas laporan analisis kimia diperoleh.

Pada 21 Okt, gambar air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan, kira-kira lima kilometer ke utara Kampung Air Ganda, Gerik, yang kelihatan berwarna biru, tular di media sosial.

Susulan itu, Pengarah JAS Perak Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh memaklumkan kejadian disyaki berpunca daripada aktiviti perlombongan mineral, namun siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.

Dalam perkembangan lain, Wan Abdul Latiff berkata kejadian pencemaran di Sungai Johor yang menjejaskan lebih 450,000 akaun pengguna air baru-baru ini, berpunca daripada kolam cucian pasir pecah di kawasan perlombongan pasir darat di Kota Tinggi.

“Siasatan mendapati projek perlombongan pasir itu melibatkan kawasan kurang daripada 20 hektar dan tidak tertakluk kepada keperluan menyediakan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Namun, tindakan tetap diambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan mengarahkan syarikat terlibat melaksanakan kerja-kerja pembaikan di kolam dan benteng yang terjejas,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan 455,499 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak terancang, dengan 211,257 akaun masih terjejas setakat pagi ini, melibatkan kawasan Johor Bahru (139,654 akaun), Kulai (43,786) dan Kota Tinggi (27,817).- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI