Pendaki hilang ditemukan maut di puncak Gunung Liang

TANJUNG MALIM – Seorang lelaki yang  dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti mendaki gunung dari Bukit Fraser Pahang ke Gunung Liang dekat sini sejak dua hari lalu ditemukan maut petang Khamis.

Mangsa dikenali sebagai Mustaqqeem Mansoor, 34, dari Sungai Petani, Kedah, ditemukan tidak sedarkan diri di puncak puncak Gunung Liang Barat kira-kira jam 3.30 petang selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan mangsa pada jam 7.59 pagi Khamis sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Mangsa dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti mendaki gunung bersama 10 rakan lain sejak Jumaat lalu.

“Mereka memulakan pendakian dari Bukit Fraser, Pahang dan dijadualkan turun di Gunung Liang.

“Kali terakhir mangsa dilihat berada bersama kumpulannya pada jam 10.30 malam, pada Selasa, di puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Beliau berkata, lelaki itu ditemukan meninggal dunia ketika sedang menunggu bantuan helikopter daripada Unit Udara JBPM bagi membawa turun mangsa.

Namun jelas beliau, penggunaan helikopter tidak dapat dilakukan atas faktor-faktor cuaca dan keselamatan.

“Pasukan penyelamat kedua sedang dalam perjalanan naik ke lokasi bersama kelengkapan bagi menggantikan pasukan pertama.

“Mereka akan bermalam di atas puncak sebelum proses membawa turun dilakukan dengan bantuan helikopter jam 9 pagi Jumaat,” katanya.

Menurut Shazlean, operasi dikawal dari Pos Kawalan Bomba (PKB) yang dibuka di kaki Gunung Liang dan setakat petang ini, keadaan operasi dilaporkan terkawal.

Beliau berkata, SAR diketuai oleh Komander Operasi JBPM, Mohd Zairul Fahmi Mohd Nazari dengan kekuatan 12 anggota bomba serta bantuan daripada pelbagai agensi lain.

“Ia termasuk tenaga bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Perhutanan, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Slim Village dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” tambah beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bomba bantu bawa turun remaja maut dipercayai jatuh air terjun

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI