Pendaki maut di Gunung Liang: Dua malim gunung ditahan

IPOH – Dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) ditahan susulan kejadian seorang lelaki yang ditemukan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Liang, Muallim dekat Tanjung Malim, semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kedua-dua lelaki yang berusia 41 dan 50 tahun itu ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) selepas mendapati mereka telah memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran sah.

Menurutnya, siasatan mendapati, kumpulan pendaki terbabit bersama mangsa diiringi dua malim gunung itu memulakan pendakian di kawasan Bentong, Pahang dan turun di Muallim sebelum menyedari kehilangan mangsa.

“Tangkapan terhadap dua malim gunung ini dilakukan kerana permit yang mereka peroleh hanya sah untuk masuk dan keluar di daerah yang sama dengan tempat permulaan pendakian iaitu di Bentong, Pahang.

“Namun, apabila mereka turun di sebelah Muallim, mereka telah memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit yang sah.

“Oleh itu, tangkapan telah dilaksanakan oleh JPNPk atas kesalahan memasuki atau berada di kawasan hutan simpan tanpa permit atau kelulusan yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan Op Tapis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Kompleks Latihan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Jalan Pasir Puteh, di sini pada Jumaat.

Mohammad Azlin berkata, kedua-dua malim gunung itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad berkata, sehingga kini mayat mangsa masih belum dibawa keluar dari lokasi kejadian.

Katanya, ini kerana cuaca berkabus menghalang usaha untuk membawa turun mayat mangsa menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Terdahulu, media melaporkan, seorang lelaki yang melakukan aktiviti mendaki di Gunung Liang, Tanjung Malim yang hilang sejak 14 Oktober lalu ditemukan maut petang semalam.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Shazlean Mohd Hanafiah dilaporkan berkata, mangsa Mustaqqeem Mansoor, 34, yang beralamat di Sungai Petani, Kedah ditemukan pada 3.30 petang di puncak Gunung Liang Barat.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu membabitkan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) Slim Village dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, mangsa bersama 10 rakan memulakan pendakian dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, namun kali terakhir dilihat pada Selasa sekitar 10.30 malam di puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pendaki hilang ditemukan maut di puncak Gunung Liang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI