IPOH – Pendakwah Orang Asli, Wan Masindra Juja, 44, telah melalui perjalanan daripada mencari jawapan mengenai agama kepada berdakwah kepada masyarakat untuk mendalami agama Islam.
Usaha dan dedikasi beliau sepanjang dua dekad berdakwah mendapat pengiktirafan selepas dipilih menerima Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak.
Bapa kepada seorang cahaya mata perempuan ini turut meluahkan rasa syukur dan menjelaskan bahawa anugerah tersebut adalah dorongan besar kepada pendakwah, khususnya yang datang daripada latar belakang bukan Melayu, untuk terus berdakwah di lapangan membawa mesej Islam.
“Alhamdulillah, pertama sekali saya bersyukur kepada Allah SWT di atas nikmat penghargaan yang telah diberikan.
“Ini adalah satu pengiktirafan kepada pendakwah-pendakwah terutamanya yang bukan Melayu untuk sama-sama terlibat dalam lapangan bagi memperkenalkan Islam adalah agama untuk semua manusia tanpa mengira bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak bagi tahun 1447H/2025M yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Wan Masindra berkata, pengiktirafan tersebut turut menjadi dorongan kepada pendakwah yang sentiasa berusaha dalam menyebarkan Islam.
“Pengiktirafan seperti ini sebenarnya mampu memotivasi kepada ramai pendakwah-pendakwah yang sebenarnya mungkin lebih layak lagi untuk dapat supaya mereka lebih termotivasi dan bersemangat untuk melaksanakan perintah Allah SWT iaitu mengajak manusia kepada agama Islam,” ujarnya.
Beliau yang berketurunan suku Temiar dari Kampung Kenang, Sungai Siput berkata, sejak dari memeluk Islam 18 tahun lalu, beliau mula mengabdikan diri dalam dunia dakwah serta melalui pengalaman didakwahkan sebelum menjadi pendakwah.
“Sebelum ini, saya sering tertanya-tanya kami Orang Asli mempunyai budaya, adat resam dan pantang larang tetapi kenapa kami tiada agama khusus macam orang lain?
“Bagaimanapun, selepas saya melihat orang Melayu mengamalkan Islam, solat tarawih, laungan azan dan pengajian Al-Quran telah menarik minat saya untuk lebih mendalami agama Islam.
“Bila sudah masuk Islam, kita nampak kelompong-kelompong yang sebelum ini bila didakwah benda itu perlu dititik beratkan dan cuba diperbaiki.
“Sebab Islam ini pentingnya metod ataupun penyampaiannya. Bila kita guna cara yang betul InshaAllah orang boleh faham dengan mudah,” jelasnya.
Tokoh Mualaf Kebangsaan 2023 itu menjelaskan bahawa perjalanannya sebagai pendakwah bukan sesuatu yang mudah, terutamanya bagi memastikan iman dalam kalangan saudara baharu terpelihara.
“Sepanjang saya berdakwah, pelbagai bangsa sudah saya syahadahkan. Cuma cabarannya bukan sebelum syahadah, ia jadi berat selepas syahadah.
“Sebab pengisian mereka itu untuk beramal satu benda yang sukar dan kita faham kehidupan masyarakat Islam pada hari ini agak sedikit terkhilaf tidak seperti zaman Rasulullah SAW.
“Ramai saudara baharu yang bergelut, dan apabila iman mereka rapuh, mudah untuk mereka meninggalkan Islam. Sebab itu, kebajikan dan sokongan amat penting,”’ ujarnya.
Penyelia Mubaligh Islam Negeri Perak, Wan Masindra itu berkata, kini beliau menguruskan pendakwah, saudara baharu dan Orang Asli di Perak.
“Alhamdulillah, saya baharu setahun lapan bulan menjadi penyelia mubaligh yang menjaga ustaz, ustazah, yang menguruskan mualaf dan Orang Asli.
“Dakwah ini tidak boleh bergantung pada seseorang, ia kena ada organisasi dan pelapis. Bila kita membentuk organisasi yang mantap, semua pihak boleh bekerja dengan lebih sistematik sebab zaman kita mungkin tak sama dengan zaman sekarang segi dakwah,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: