LENGGONG – Penduduk Lenggong tampil membuat laporan polis terhadap dua akaun media sosial Facebook yang didakwa memuat naik hantaran jelik terhadap Menteri Besar Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Lenggong Jalan Alang Iskandar, dekat sini, pada Jumaat yang turut dihadiri kira-kira 15 penduduk.
Mohd Razali Ahmad, 70, berkata, dia meminta agar pihak polis dapat menyiasat pemilik akaun Facebook berkenaan yang dikatakan memberi gelaran buruk kepada Saarani dan pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.
Katanya, dia juga berharap agar tindakan tegas dapat diambil termasuk oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kenyataan yang telah dimuat naik dalam Facebook ini, seolah-olah menghasut dan memberi gambaran buruk terhadap Kerajaan Negeri Perak serta kepimpinannya.
“Isu yang telah dimuat naik telah terjawab sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh berkaitan isu ladang babi yang dibangkitkan sewaktu menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning.
“Malah, berkaitan isu Masjid Ar-Ridzuan di Alor Pongsu pula telah ditangani oleh Menteri Besar Perak serta dibincangkan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Hal ini dalam tindakan,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan polis, di sini, pada Jumaat.
Mohd Razali yang jug Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian memberitahu, dia mengesan hantaran terbabit ketika berada di kediamannya di Kampung Sekolah Perempuan, dekat sini, pada jam 3.18 petang, Khamis.
“Saya sebagai seorang rakyat Perak terpanggil membuat laporan polis dan merasakan ia berniat jahat bagi menjatuhkan reputasi serta kredibiliti Menteri Besar Perak dalam menyasarkan pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya lagi.
Untuk rekod, Kota Tampan merupakan salah satu daripada dua DUN di bawah kawasan Parlimen Lenggong selepas DUN Kenering. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak nafi dakwaan ladang babi berhampiran masjid, penempatan penduduk