TAPAH – Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini, berharap wakil rakyat baharu yang terpilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti dapat memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut.
Kakitangan swasta, Khuzaini Khusasi, 36, yang merupakan penduduk asal Kampung baru Ayer Kuning berharap projek perumahan mampu milik atau Rumah Mesra Rakyat dapat dibina bagi menampung keperluan penduduk khususnya mereka yang mendambakan rumah pertama.
“Saya mengharapkan calon dapat membuat satu idea baharu dari segi pembangunan di kawasan Kampung Baru Ayer Kuning.
“Di sini saya lihat pembangunan projek perumahan kurang dan banyak rumah kampung. Sebagai anak muda, harap projek pembangunan rumah dapat dilaksanakan di sini.
“Ini kerana saya kerja swasta agak susah beli rumah dan jika projek perumahan seperti Rumah Mesra Rakyat dan mampu milik dapat dibina di sini, kami anak muda boleh dapat aset,“ katanya ketika ditemui Malaysia Gazette Perak (MG Perak) di sini, hari ini.
Surirumah, Rafizah Abd Rahim, 48, yang menetap di Perumahan Awam II Air Kuning pula mahu beberapa infrastruktur dibangunkan antaranya pembinaan taman kanak-kanak dan bilik pengurusan jenazah.
Menurutnya, masalah tekanan air rendah turut membelenggu hampir separuh penduduk di kawasan perumahan tersebut.
“Kita dah nak raya separuh taman air perlahan. Sebelum ini, kami pernah suarakan masalah kepada arwah (Ishsam Shahruddin) YB (Yang Berhormat) akan monitor dengan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran).
“Taman kanak-kanak juga sudah lama kami minta dan di sini tiada kawasan untuk mandi jenazah jadi kami mohon bilik pengurusan jenazah. Harap untuk calon akan datang dapat tunaikan hasrat kami di sini,“ ujarnya.
Sementara itu, Wan Abdullah Wan Hashim, 59, dari Kampung Simpang Empat Sungai Lesong turut meluahkan permintaan untuk mendapatkan van jenazah yang menjadi keperluan kira-kira enam kampung di kawasan berkenaan.
“Bagi saya kalau boleh dapatkan van jenazah yang menjadi satu keperluan dekat empat ke enam kampung di sekitar kawasan ini.
”Masjid Jamek Sungai Lesong juga menjadi tempat persinggahan musafir yang ingin berehat dan menunaikan solat di sini.
“Jadi, kami mohon supaya projek hentian musafir yang pernah dicadangkan dulu diteruskan serta memperbaiki kemudahan masjid untuk memudahkan golongan orang kurang upaya (OKU) beribadat dengan menyediakan laluan kerusi roda kepada mereka,” katanya.
Pada Jumaat media melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang, Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengundi Ayer Kuning mahu wakil rakyat mudah didekati, jaga kebajikan