Penduduk Kampung Kuala Slim tak sangka banjir kembali berlaku

TANJUNG MALIM – Penduduk di Kampung Kuala Slim, Slim River dekat sini, tidak menyangka cuaca hujan lebat berpanjangan di situ kembali membawa kepada situasi bah dan banjir genang, pada Isnin.

Werdawati Mohd Zaini , 40, berkata, situasi hampir sama pernah dihadapi kira-kira tiga tahun lalu sebelum keluarganya membuat keputusan untuk membina parit berhampiran rumah bagi mengelak kejadian banjir berulang.

Banjir penduduk kampung terjejas Kuala Slim kembali banjir genang air paras situasi keadaan
Penduduk, Werdawati Mohd Zaini, 40, ketika temubual bersama MG Perak di Kampung Kuala Slim, Slim River. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 OKTOBER 2024.

“Sejak kami membina parit di sekeliling rumah, kejadian banjir tidak lagi melanda kawasan rumah. Namun kejadian pada awal pagi Isnin adalah kedua paling teruk.

“Paras air pun naik sampai ke paras dada. Ditambah pula keadaan ayah saya yang kurang sihat, agak mencabar situasi banjir kali ini,” katanya ketika ditemui MG Perak di Kampung Kuala Slim, Slim River, pada Isnin.

Menurutnya lagi, keadaan hujan mula disedari sekitar tengah malam, namun ketika itu ia air masih belum naik dan keadaan seperti biasa.

Banjir penduduk kampung terjejas Kuala Slim kembali banjir genang air paras situasi keadaan
Sekumpulan kanak-kanak mengambil kesempatan bermain air banjir di Jalan Kampung Kuala Slim, Slim River, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 OKTOBER 2024.

Katanya, semasa hendak menghantar anak ke sekolah, dia terkejut selepas mendapati air banjir sudah mula naik di sekeliling rumah yang didiami tujuh beranak itu.

“Selain daripada mesin basuh, barang-barang kelengkapan dan peralatan elektrik lain di dapur kami tak dapat selamatkan. Memang saya tak sangka air banjir akan naik setinggi itu,” ujarnya.

Tambah Werdawati, lazimnya situasi banjir genang di rumahnya akan beransur pulih dalam tempoh dua hari, namun ia mungkin sebaliknya dan berlarutan sekiranya cuaca hujan.

Banjir penduduk kampung terjejas Kuala Slim kembali banjir genang air paras situasi keadaan
Sekumpulan kanak-kanak yang diawasi orang dewasa mengambil kesempatan bermain air banjir di Jalan Kampung Kuala Slim, Slim River, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 OKTOBER 2024.

Jelasnya lagi, ia menambahkan kebimbangannya kerana menjangkakan sekiranya hujan lebat berterusan kembali berlaku, paras air banjir boleh melepasi lantai ruang tamu rumahnya.

Sementara itu, penduduk, Mat Yazid Mohd Ganti, 41, memberitahu situasi banjir yang melanda di Kampung Kuala Slim menjejaskan barang-barang elektrik pelangganya.

Banjir penduduk kampung terjejas Kuala Slim kembali banjir genang air paras situasi keadaan
Penduduk, Mat Yazid Mohd Ganti, 41, ketika temubual bersama MG Perak di Kampung Kuala Slim, Slim River. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 OKTOBER 2024.

Dia yang mengambil upah membaiki barangan elektronik berkata, keadaan itu memberi kesan kepada mata pencariannya disamping terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan mencecah RM6,000.

“Dua kipas pelanggan saya terjejas dengan banjir, dan untuk itu saya terpaksa ambil tanggungjawab. Jika mereka tidak boleh terima (alasan keadaan banjir), saya terpaksa ganti dengan kipas baharu.

“Dan hari ini sepatutnya saya ada kerja di dua lokasi berhampiran, namun disebabkan banjir ini, saya tak boleh hendak buat apa-apa.

“Barang yang saya guna untuk kerja pun terjejas. Dan orang kata rezeki ini Allah yang bagi, disebabkan itu saya reda sahaja (dengan ujian yang melanda ini),” katanya.

Rumah penduduk Kampung Kuala Slim, Slim River, ditenggelami air akibat banjir yang melanda kampung itu sejak awal pagi tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 OKTOBER 2024.

Ujar Mat Yazid, keadaan banjir yang melanda kampung itu disifatkan sebagai berlaku terlalu pantas sehingga dia tidak dapat menyelamatkan beberapa barang-barang peribadi lain.

“Banjir naik mendadak, apabila dalam tempoh satu jam setengah, air sudah mula melepasi jalan raya di depan rumah.

“Saya memang tak sangka langsung ia jadi seperti ini, kerana pada awal pagi saya lihat tiada banjir walaupun hujan lebat. Ia kemudian naik dari sekaki ke sekaki,” katanya lagi.

Selain itu dia juga mendakwa, limpahan air dari Sungai Bernam, Sungai Slim dan Sungai Trolak menjadi punca kepada kejadian banjir di kampung berkenaan.

Seorang kanak-kanak mengambil kesempatan memancing ikan selepas rumah mereka ditenggelami air akibat banjir yang melanda kampung itu sejak awal pagi tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 OKTOBER 2024.

Setakat jam 10 malam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan berlaku pertambahan jumlah mangsa banjir di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan lima daerah iaitu dari 1,586 kepada 1,605 mangsa.

Di Daerah Muallim, sebanyak tiga PPS dibuka melibatkan PPS Dewan Kampung Batu 4, SK Kuala Slim dan SK Slim River.

Seramai 117 mangsa dari 28 keluarga ditempatkan di PPS SK Kuala Slim yang mula dibuka pada jam 8.30 pagi Isnin. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

1,586 mangsa banjir di Perak ditempatkan di 10 PPS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI