Penduduk lega operasi rumah pam, kunci air berjalan lancar

BAGAN DATUK – Pengoperasian tiga pam air yang diaktifkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kunci Air Tebuk Semani di sini, terbukti membantu melancarkan pergerakan air sekali gus mengurangkan risiko banjir di sekitar daerah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bagan Sungai Tiang, Ishak Talib berkata, tindakan pantas JPS itu melegakan penduduk di kawasan yang telah berdepan dengan situasi air bergenang akibat bencana banjir ekstrem November lalu.

Menurutnya, sebelum ini hanya satu pam digunakan, namun JPS bertindak menambah dua pam lagi untuk memastikan pergerakan air berjalan lancar.

“Ketiga-tiga pam air yang diaktifkan ini sememangnya amat membantu untuk mengurangkan risiko banjir.

“Sebelum ini, hanya satu pam sahaja digunakan, tetapi apabila musim banjir melanda dengan hujan lebat tanpa henti, JPS menambah dua lagi pam bagi membantu melancarkan pergerakan air.

Penduduk lega operasi kunci air, rumah pam berjalan lancar
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak menyediakan dua buah pam kecemasan mudah alih bagi menangani masalah banjir termenung yang berlaku di Kunci Air  Tebuk Semani, Bagan Datuk. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 DISEMBER 2025.

“Dua pam akan beroperasi serentak pada satu-satu masa bagi membantu menggerakkan aliran air di kawasan sekitar antaranya Sungai Tiang, Selekoh dan Rungkup.

“Air yang dipam akan disalurkan terus ke laut yang terletak kira-kira 1.6 kilometer dari kawasan ini,” katanya sewaktu tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak di Rumah Pam dan Kunci Air Tebuk Semani di sini pada Sabtu.

Ishak menjelaskan, kunci air yang dibina sejak 1973 di lokasi tersebut didakwa tidak berfungsi lebih 10 tahun lalu, antara punca kawasan berkenaan sering dilanda banjir.

“Jadi, kami terpaksa menggunakan pam untuk membantu air untuk keluar ke laut. Jika tidak, kawasan ini sentiasa berdepan banjir setiap kali hujan.

Penduduk lega operasi kunci air, rumah pam berjalan lancar
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melakukan kerja-kerja pembesaran laluan air bagi meningkatkan keupayaan aliran dan mengurangkan risiko banjir di Daerah Bagan Datuk ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kunci Air Tebuk Semani, Bagan Datuk. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 DISEMBER 2025.

“Ini kerana, setahun paling kurang dua kali banjir, tetapi kali ini (banjir) yang paling teruk sehingga rumah tenggelam sehingga mencecah satu meter serta banyak hidupan tidak dapat diselamatkan.

“Hanya pokok-pokok seperti sawit dan kelapa yang mampu bertahan lebih lama, manakala tanaman lain termasuk pisang yang baru ditanam terpaksa ditanam semula,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun banjir besar yang melanda baru-baru ini telah mengakibatkan kerugian besar, penduduk menerima kejadian tersebut sebagai takdir dan berharap pam air tersebut akan dapat membantu mengawal aliran air dengan baik.

Beliau turut menjelaskan bahawa sekiranya pam mengalami kerosakan, kunci air sedia ada masih boleh digunakan sekiranya dinaik taraf dan berharap kerja pelebaran saliran dapat dilaksanakan dengan segera bagi membolehkan lebih banyak kapasiti air mengalir melaluinya.

Penduduk lega operasi kunci air, rumah pam berjalan lancar
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Belukang, Abdullah Sani Muhamad ketika temubual bersama MG Perak di Bagan Datuk, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 DISEMBER 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi JPKK Sungai Belukang, Abdullah Sani Muhamad berkata, paras air dilihat telah surut lebih 90 peratus hasil penggunaan pam air secara berjadual, sekali gus melancarkan pergerakan air berbanding sebelum ini.

Katanya, sebelum ini pergerakan air agak perlahan dan tidak bergerak, namun situasi kini menunjukkan perubahan ketara.

“Alhamdulillah, pergerakan air itu walaupun tidak secepat mana, tetapi lebih 90 peratus surut dengan cepat berbanding sebelum ini, di mana air tenang dan tidak bergerak,” katanya.

Tambahnya, langkah pengurusan pam secara sistematik secara berjadual oleh JPS itu juga berjaya mengurangkan risiko air bertakung di kawasan berkenaan.

Penduduk lega operasi kunci air, rumah pam berjalan lancar
Penduduk Kampung Sungai Belukang, Mohamad Attarmizi Mohd Yusof, 30 ketika temubual bersama MG Perak di pekarangan Rumah Pam JPS Tebuk Semani, Bagan Datuk, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 DISEMBER 2025.

Sementara itu, penduduk Kampung Sungai Belukang, Mohamad Attarmizi Mohd Yusof, 30, mengucapkan terima kasih kepada JPS yang bertindak pantas mendengar suara anak muda di kawasannya untuk membuka semula kunci air yang didakwa telah lama tidak beroperasi

“Saya sebagai wakil pemuda kampung mengucapkan terima kasih dan pembukaan kunci air serta penggunaan pam air membolehkan air yang bertakung di kampung kami cepat surut.

“Penduduk kampung serta rakan-rakan juga dapat bekerja semula seperti biasa selepas masalah itu selesai,” ujarnya yang bekerja sebagai operator jentera berat.

Penduduk lega operasi kunci air, rumah pam berjalan lancar
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melakukan kerja-kerja pembesaran laluan air bagi meningkatkan keupayaan aliran dan mengurangkan risiko banjir di Daerah Bagan Datuk ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kunci Air Tebuk Semani, Bagan Datuk. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 DISEMBER 2025.

Sebelum ini, Pengarah JPS Perak, Ir Dr Asnor Muizan Ishak memaklumkan bahawa operasi kunci air dan rumah pam di kawasan berkenaan masih berfungsi dan tidak mengalami kerosakan.

Beliau berkata, operasi tersebut hanya terjejas buat sementara waktu akibat mendapan selut serta lambakan sampah susulan hujan ekstrem yang melanda daerah itu pada akhir November lalu sehingga mengakibatkan kejadian banjir genang.

Menurutnya, ketika hujan lebat dan banjir berlaku, air yang mengalir akan membawa bersama lumpur, sampah dan kayu yang boleh masuk ke dalam pam serta menyebabkan ia terhenti secara automatik. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kunci air, rumah pam di Bagan Datuk masih beroperasi – JPS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI