Penduduk protes roboh Surau Al-Karamah

IPOH – Lebih 100 penduduk Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh, di sini, memprotes tindakan pemaju yang hadir untuk melaksanakan kerja-kerja mengosongkan dan merobohkan Surau Al-Karamah yang bertapak lebih 40 tahun di kampung berkenaan.

Penduduk kampung terdiri daripada kariah serta jawatankuasa surau mula berkumpul sekitar jam 9 pagi dan suasana mula kecoh selepas kehadiran wakil pemaju dan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kemudiannya bertindak memotong bekalan elektrik di surau tersebut.

Anggota polis turut hadir bagi mengawal situasi di kawasan berkenaan supaya bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini daripada berlaku.

Bagaimanapun, keadaan mula reda selepas wakil pemaju dan penduduk terlibat mula beredar dari kawasan pekarangan surau pada jam 11.30 pagi.

Penduduk protes roboh Surau Al-Karamah
Penduduk mahu tapak Surau Al-Karamah, Kampung Seri Keramat dikekalkan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Seri Keramat, Noor Azizan Abdul Aziz mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang notis atau surat rasmi malahan tiada perbincangan dibuat berhubung kerja-kerja untuk merobohkan surau berkenaan.

Menurutnya, kira-kira dua minggu lalu, wakil pemaju telah datang untuk menjalankan kerja-kerja meroboh surau tersebut namun tindakan itu dibantah.

“Pada hari ini, mereka (wakil syarikat pemaju) datang untuk mengadakan perbincangan lanjut dan akhirnya bertindak memotong bekalan elektrik surau,” katanya ketika ditemui di perkarangan surau berkenaan pada Khamis.

Penduduk protes roboh Surau Al-Karamah
Pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pemotongan bekalan elektrik di Surau Al-Karamah, Kampung Seri Rahmat, Pasir Puteh, Ipoh.

Dalam perkembangan sama, Noor Azizan berkata, surau tersebut telah berdaftar sejak tahun 2019 di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan mempunyai nombor PT (hak milik sementara) serta nombor LOT (hak milik tetap) sendiri.

“Permintaan kami, supaya surau ini dikekalkan di tapak asal, bukannya dipindahkan. Kami ada sokongan penduduk yang punya hasrat sama mahu kekalkan surau di sini.

“Kami juga akan buat laporan polis berkaitan perkara ini dan melantik peguam bagi mewakili penduduk,” jelasnya.

Penduduk mahu Surau Al-Karamah, Kampung Seri Keramat yang didirikan sejak 45 tahun lalu dikekalkan di tapak asal.

Sementara itu, Pengerusi surau, Abdul Zaimi Musa berkata, pembinaan surau baharu yang siap dua bulan lalu dan terletak kira-kira 500 meter dari surau tersebut tidak dipersetujui jawatankuasa kariah.

“Sebelum ini, tiada perbincangan langsung. Orang kampung pun tidak tahu, tiba-tiba sebuah surau sudah siap.

“Kami datang bukan maksud melawan kerajaan tetapi hendak mempertahankan hak kami sebagai penduduk di sini.

Pada 2021, Jawatankuasa Surau Al-Karamah memohon campur tangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Menteri Besar serta Pejabat Tanah dan Galian Perak untuk menghalang tindakan merobohkan surau itu bagi memberi laluan kepada projek perumahan.

Bantahan itu kemudiannya mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memberi perkenan agar surau tersebut tidak dirobohkan sehingga surau baharu siap dibina. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ubah persepsi lama masjid sekadar tempat laksana ibadah khusus

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI