TAIPING – Kerajaan Negeri Perak menyerahkan kepada Jabatan Warisan Negara untuk tindakan selanjut berkenaan penemuan fosil karang purba pelbagai jenis dianggarkan berusia 300 juta tahun di Kampung Changkat Tualang, Kampar.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menentukan tindakan selanjutnya berhubung penemuan berkenaan.
“Biasanya penemuan fosil ini Jabatan Warisan akan masuk terlebih dahulu kerana kita tidak boleh menyentuh penemuan berkenaan.
“Apabila disebut mengenai penemuan fosil, Jabatan Warisan akan masuk dan dia akan pagar kawasan berkenaan serta melakukan penilaian dari segi usia dan nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping, di Dataran Warisan di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, media melaporkan sekumpulan penyelidik Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT) menjumpai fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun.
Fosil yang terdiri daripada beberapa jenis hidupan purba spesies siput laut yang sudah lama pupus itu ditemukan di sebuah kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan Kampung Changkat Tualang, Kampar.
Naib Pengerusi GEONAT, Mohd Fadly Md Noor berkata, pihaknya menjelajah kawasan berkenaan selepas melakukan rujukan daripada jurnal lama termasuk rekod pengkaji lama.
“Kami menemukan lebih tiga atau empat jenis fosil daripada kelas Gastropod, Rugosa, Crinoid dan satu lagi fosil karang, apa yang kita boleh katakan di sini paling banyak jenis Gastropod kita jumpa 50 spot yang melekat pada batu-batuan,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Penemuan fosil: Perak serah kepada Jabatan Warisan Negara […]