Penemuan tangan terputus: Enam lelaki direman lima hari

IPOH – Enam lelaki direman lima hari di Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Isnin bagi membantu siasatan kes pergaduhan hingga mengakibatkan kecederaan parah terhadap tiga lelaki di Tanjung Rambutan, dekat sini, pada Ahad.

Majistret, Adilah Mokhtar, membenarkan perintah reman kepada semua suspek yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 37 tahun itu bermula hari ini hingga Jumaat.

Tempoh reman itu bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kerana merusuh.

Ia susulan insiden tiga lelaki warga tempatan yang dilaporkan cedera parah akibat diserang kira-kira 20 individu dengan memakai topeng dan bersenjata dalam insiden sekitar 11.03 pagi Ahad.

Dalam kejadian itu, satu pergelangan tangan manusia yang terputus ditemukan di lokasi pergaduhan di Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, berhampiran Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, di sini.

Penemuan pergelangan tangan kiri yang ditemukan di atas jalan raya itu disedari anggota bomba yang sedang memadamkan kebakaran sebuah kereta yang dipercayai sengaja dibakar di lokasi terbabit.

Walau bagaimanapun, dilaporkan tiada mangsa ditemukan di lokasi kejadian ketika pasukan bomba di lokasi.

Malam tadi, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, dalam satu kenyataan berkata, tiga lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 30 tahun cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Tiga individu terbabit masing-masing mengalami kecederaan hampir putus pergelangan tangan kiri, putus pergelangan tangan kiri, dan putus urat tapak tangan kiri susulan insiden pergaduhan itu.

Abang Zainal Abidin berkata, pergaduhan itu berlaku dipercayai berpunca akibat perebutan kawasan pengedaran dadah. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bomba jumpa tangan putus dalam operasi padam kebakaran kereta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI