Penerbitan ilmiah UPSI raih empat Anugerah MAPIM-KPT Ke-16

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengungguli bidang penerbitan ilmiah apabila menerima empat anugerah pada Majlis Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Ke-16 baru-baru ini.

Kemenangan ini mengukuhkan reputasi UPSI sebagai antara institusi peneraju dalam penerbitan ilmiah dan penyelidikan berimpak tinggi di peringkat nasional.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menyifatkan kejayaan itu hasil komitmen yang tinggi akademia UPSI untuk menghasilkan karya bermutu.

“Saya sentiasa menyokong usaha Penerbit UPSI untuk menerbitkan karya bermutu berlandaskan penyelidikan yang berimpak tinggi terhadap masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Pengarah Penerbit UPSI, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah berkata, pengiktirafan tersebut dicapai melalui kualiti penerbitan jurnal dan hasil penyelidikan yang tinggi menerusi Journal of ICT in Education (JICTIE) yang berjaya meraih tempat pertama bagi kategori Makalah Jurnal Terbaik Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaan (Kebangsaan) bagi artikel bertajuk “Designing Immersive Narratives of Jugra Heritage Site for Cultural Edutainment Using Mixed Reality (MR)”, hasil penulisan Mazarina Mat Zain bersama pasukan penyelidik.

Katanya, bagi kategori antarabangsa pula, UPSI meraih tempat ketiga melalui makalah “Pianists’ Interpretive Insight: Exploring Hunt, Military and Pastoral Motifs through Monelle’s Topic Theory” yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Music (MJM) hasil penulisan Ding Jin, Poon Chiew Hwa dan Feng-Hsu Lee.

“Selain itu, jurnal Educatum (Journal of Science, Mathematics and Technology) turut menerima pengiktirafan apabila memenangi tempat ketiga bagi kategori Makalah Jurnal Terbaik Sains dan Teknologi (Kebangsaan) melalui kajian bertajuk “Incorporation of Graphene Oxide/Metal Oxide into Modified Polyvinylidene Fluoride Membrane for the Degradation of Methylene Blue Dye Through Adsorption Photocatalytic Activity” diketuai Siti Nor Aisyah Jamilon bersama pasukan penyelidik,” ujarnya.

Tambahnya, Profesor Dr Nordin Mamat pula dinobatkan sebagai Penulis Prolifik Terbaik sekali gus mengangkat nama UPSI sebagai institusi penerbitan universiti yang aktif dan berkualiti serta sering dijadikan rujukan dalam pelbagai bidang pendidikan awal kanak-kanak, kepimpinan dan kemasyarakatan.

“Nordin adalah pakar dalam pendidikan awal kanak-kanak di Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI yang banyak mengetuai kajian dalam bidang tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Suriani Abu Bakar berkata, kejayaan yang diraih UPSI melambangkan kekuatan ekosistem penerbitan universiti secara menyeluruh.

“Setiap anugerah yang diraih bukan sekadar kemenangan sebuah karya, tetapi hasil usaha kolektif yang melibatkan penulis, penilai, editor serta seluruh warga penerbit. Sinergi inilah yang mengangkat UPSI ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar Penerbit UPSI terus memperkukuh kecemerlangan dan meraih lebih banyak pengiktirafan pada masa hadapan.

“Kemenangan UPSI dalam pelbagai kategori membuktikan komitmen universiti sebagai institusi penerbitan yang konsisten, kompetitif dan inovatif.

‘Kejayaan ini bukan sahaja menaikkan reputasi UPSI di persada kebangsaan dan antarabangsa, malah menunjukkan kesungguhan warga akademik UPSI dalam melahirkan karya berimpak tinggi sejajar dengan aspirasi KPT.

“Justeru, kit berharap Penerbit UPSI terus berdiri sebagai tulang belakang dalam memartabatkan penerbitan ilmiah negara, sesuai dengan peranan universiti sebagai peneraju pembangunan pendidikan dan penyelidikan negara,” katanya.

Majlis berprestij anjuran MAPIM dan KPT itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Profesor Dr Zainal Amin Ayub. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

UPSI lakar sejarah kedudukan ke-98 dunia dalam UI GreenMetric 2025

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI