KUALA KANGSAR – Penerima Anugerah Tuanku Canselor pada pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-18 di sini, pada Sabtu, Roselind Nadiera Talib, 22, menggenggam cita-cita untuk menjadi peguam syarie pada suatu hari nanti.
Roselind Nadiera berkata, anugerah yang diterima itu merupakan salah satu impan yang ingin diraih sejak mula melangkah masuk ke menara gading itu.
“Saya bersyukur dan gembira selepas diumumkan sebagai penerima Anugerah Tuanku Canselor.
“Dan selepas ini saya merancang untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Pascasiswazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie juga di USAS.
“Ia juga diharap dapat menjadi jalan kepada saya untuk memperoleh tauliah sebagai peguam syarie nanti,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen USAS ke-18 di Dewan Jubli Perak dekat sini, pada Sabtu.
Ia disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda terdahulu berkenan menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor USAS kepada Roselind Nadiera yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah.
Roselind Nadiera dianugerahkan sijil, medal dan cek berjumlah RM5,000.
Dalam pada itu dia berkata, kedua-dua ibu bapanya merupakan pembakar obor semangat juang buatnya dalam menempuh pelbagai cabaran sehingga berjaya meraih anugerah tersebut.

“Mereka adalah sumber kekuatan saya sepanjang dalam kehidupan, dan saya sangat bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang begitu menyokong saya sejak daripada kecil sehingga hari ini,” katanya.
Dia juga turut menitipkan pesanan kepada para penuntut yang masih dalam pengajian untuk terus berusaha dalam mencapai cita-cita hidup yang diinginkan.

“Kita memerlukan pengorbanan yang besar. Dan dalam pengorbanan itu, kita harus bersabar dalam menghadapi pelbagai ujian.
“Kerana percayalah bahawa ALLAH sentiasa bersama dengan orang yang bersabar dan orang yang berusaha,” katanya.
Sementara itu bapanya, Mohamad Akhir Md Johan, 51, berkata, dia turut merasa gembira dan menyifatkan kejayaan anak perempuannya itu sebagai suatu hadiah yang tidak diduga.
“Sebagai ibu bapa yang mendidiknya sejak kecil, saya merasakan ini adalah hadiah yang tidak terhingga. Dan saya berharap suatu hari nanti dia dapat menjadi seorang peguam syarie yang hebat.
“Saya selalu menasihatkan kepada dia bahawa untuk cemerlang dalam kehidupan kita harus mengutamakan ALLAH dan tidak melupakan ibu bapa,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen USAS ke-18


