KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keuntungan hasil pengambilalihan FGV Holdings Bhd. (FGV) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bakal memberi manfaat kepada golongan peneroka.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, 92 peratus saham FGV yang dahulu tersenarai di Bursa Malaysia telah dikembalikan kepada Felda.
Ujar Ahmad Zahid, dalam pada itu, Kerajaan Pahang dan Kerajaan Sabah juga merupakan pemegang lima peratus saham FGV dan proses memuktamadkannya akan dilakukan oleh Bursa Malaysia.
“Ini bermakna Felda memiliki sepenuhnya FGV bersama-sama kerajaan negeri dan koperasi manakala keuntungannya akan kembali kepada Felda dan disalurkan kepada golongan peneroka,” ujar beliau.
Ahmad Zahid menyatakan demikian kepada pihak media selepas menghadiri Sesi Khas Bersama Warga Felda dan Majlis Apresiasi Peneroka di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sini hari ini.
Selasa lalu, media melaporkan, Felda menerima secara sah semua baki saham biasa dalam FGV dan memperoleh saham tawaran mencapai 91.73 peratus daripada jumlah saham terbitan FGV.
FGV yang mula disenaraikan pada 2012 pada harga RM4.55 sesaham berjaya meraih RM10.5 bilion dalam satu daripada tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia.
FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Felda memegang lebih 90 peratus daripada sahamnya dan tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV di Pasaran Utama Bursa Securities.
Mengulas mengenai pemerkasaan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF), Ahmad Zahid berkata, koperasi mempunyai pelbagai pelaburan dalam organisasi peniagaan dan langkah-langkah telah diambil untuk merealisasikannya.
“Ini bagi memastikan pegangan itu dapat dijual atau memberikan pulangan Return on Investment (ROI) kepada koperasi.
“Dividen tahun lalu telah mula dibayar tapi jumlahnya sedikit berbanding ketika koperasi mula-mula memberikan keuntungan yang banyak,” ujar beliau.
“Ini bagi memastikan pegangan itu dapat dijual atau memberikan pulangan Return on Investment (ROI) kepada koperasi.
“Dividen tahun lalu telah mula dibayar tapi jumlahnya sedikit berbanding ketika koperasi mula-mula memberikan keuntungan yang banyak,” ujar beliau.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis tersebut, Ahmad Zahid menyatakan, sikap ambil peduli harus dikembalikan semula kepada anak Felda dengan menutup buku lama.
Beliau menyentuh mengenai kemudahan yang dinikmati di bandar yang mana ia harus juga dirasai oleh masyarakat Felda.
Ujar Timbalan Perdana Menteri, ia termasuk generasi kelima teknologi rangkaian mudah alih (5G) yang sepatutnya turut dinikmati oleh 317 Kawasan Felda di seluruh negara.
“Bagaimana pula dengan jalan sumbat, sekolah daif? Saya bukan anak Felda, saya tiada kepentingan politik, saya cuma memberi kepentingan dan perhatian terhadap anak Felda.
“Kepedulian ini harus dikembalikan kepada anak Felda, kita tutup buku lama dan buka buku baharu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette