Pengajaran mahal buat pasukan keselamatan – Ahmad Zahid

PASIR SALAK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan insiden penahanan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kes sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air sebagai pengajaran mahal.

Beliau berkata, ia perlu dijadikan iktibar dalam kalangan anggota keselamatan negara yang mempunyai amanah dan tanggungjawab yang besar menjaga kedaulatan negara disamping imej pasukan keselamatan.

“Saya fikir mereka mengetahui (kesan) tetapi mungkin mereka tersalah baca seolah-olah pihak penguat kuasa tidak tahu (perbuatan mereka).

“Saya harap ini adalah satu pengajaran yang mahal untuk yang lain-lain agar pasukan penguatkuasaan dan keselamatan tidak melakukan kerja yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Program Santunan Desa Kemas Negeri Perak Bersama JPKK Dan Komuniti Kemas di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, di sini pada Ahad.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang; Pengerusi Komuniti Kemas Parlimen Pasir Salak yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah, Khairul Azwan Harun dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Hanafiah Man.

Ditanya sama ada insiden berkenaan mengugat keselamatan negara, Ahmad Zahid berkata ia hanya mencalar imej pasukan namun bukan tahap keselamatan negara.

Ahmad Zahid turut menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota tentera yang didapati bersekongkol membocorkan maklumat keselamatan negara.

Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan kenyataan Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu sama ada sebagai pemberi maklumat atau terlibat secara langsung dalam perbuatan khianat itu.

“Ini soal imej pasukan, apatah lagi kita yang berada di peringkat yang harus menjalankan amanah dengan baik, bukannya menggunakan pangkat mahupun kedudukan dalam pasukan untuk melakukan kerja-kerja di luar lunas undang-undang.

“Jika perkara ini benar-benar berlaku, ia seharusnya dihentikan,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI