KUALA LUMPUR – Peguam terkenal, Nizam Bashir bimbang terhadap tindakan pihak berkuasa berhubung pengambilan ratusan kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISBH) baru-baru ini, yang disifatkan tidak mengikut prosedur undang-undang.
Menurut Nizam, hampir 500 kanak-kanak terlibat dalam operasi tersebut, namun kebanyakan daripada mereka telah dikembalikan kepada ibu bapa masing-masing, namun dengan syarat-syarat tertentu.
“Persoalan yang timbul ialah sama ada syarat tersebut sah atau tidak. Itu perkara yang mungkin akan kita lihat dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang didakwa tidak memaklumkan ibu bapa sebelum pengambilan dilakukan, sedangkan perkara itu bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Di bawah undang-undang, ibu bapa sepatutnya dimaklumkan sebelum sebarang tindakan diambil. Dalam kes ini, perkara itu tidak dilakukan,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Nizam menjelaskan, kes tersebut bukan melibatkan kanak-kanak terbiar, sebaliknya anak-anak yang berada di bawah penjagaan sah ibu bapa mereka.
“Kalau ada anak-anak yang terbiar, kerajaan wajar ambil tindakan. Tapi dalam kes ini, anak-anak itu dijaga ibu bapa sendiri. Jadi pengambilan seperti ini tidak sihat,” katanya.
Tambah beliau, beberapa ibu bapa telah menghubunginya bagi mendapatkan nasihat undang-undang dan bercadang membawa perkara ini ke mahkamah, namun masih ramai yang ragu-ragu dan takut sekiranya tindakan itu akan menyebabkan anak mereka diambil semula oleh pihak berkuasa.
“Asalkan ibu bapa menjaga anak mereka dengan baik, tak ada asas untuk mana-mana pihak mengambil mereka kembali,” ujar Nizam.
Beliau menyifatkan tindakan terhadap anak-anak yang dikaitkan dengan GISBH itu sebagai tidak wajar serta seolah-olah memperlekehkan peranan ibu bapa sebagai penjaga sah.
Katanya, beliau akan meneliti alasan rasmi dan perintah terkini berkaitan kes berkenaan sebelum membuat sebarang ulasan lanjut dari sudut perundangan. – MalaysiaGazette