Penganggur dicekup bersama 9.2 kg heroin

IPOH – Seorang penganggur dicekup polis ketika berada di kawasan parkir motosikal selepas membawa barangan terlarang dari Ipoh ke kawasan Pengkalan Jaya dipercayai untuk pengedaran barangan terlarang itu di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam kejadian sekitar jam 1.15 petang itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, menahan seorang lelaki berusia 47 yang bermotosikal di kawasan parkir berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis menemui satu beg galas berzip dengan 20 bungkusan plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis heroin seberat 9,200 gram yang bernilai RM115,000 di dalam raga hadapan motosikal suspek.

“Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin serta mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusri berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita wang tunai berjumlah RM250 menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM115,250.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan suspek adalah salah seorang daripada ahli sindiket  pengedaran dadah yang dipercayai mula aktif sejak awal Mei sehingga kini.

“Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran sekitar negeri ini serta boleh digunakan 12,000 orang penagih.

“Suspek direman selama enam hari mulai hari ini hingga 19 Mei bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dua ‘transporter’ terima upah sehingga RM50,000 ditahan bersama 51.5 kg dadah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI