Penganggur tidak mengaku salah empat pertuduhan, termasuk cederakan dua anggota polis

TELUK INTAN – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Teluk Intan pada Khamis, atas empat pertuduhan termasuk mencederakan dua anggota polis dengan menggunakan parang minggu lalu.

Tertuduh, Lok Yik Hoong, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Koperal Detektif Mohd Rasyidi Che Ross, 42, dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lorong Melati 2 Taman Melati, Padang Tembak dalam daerah Hilir Perak sekitar jam 5.40 petang, pada 1 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Dalam prosiding sama, lelaki itu didakwa memiliki dadah berbahaya iaitu kanabis dengan anggaran berat 84.72 gram di lokasi, jam dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadahh Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama yang membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun atau seumur hidup, dan boleh disebat sehingga 10 sebatan.

Bagi kesalahan sengaja menyebabkan cedera parah, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selain dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran selain tidak mengganggu mangsa.

Namun tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap duda itu bagi kesalahan memiliki dadah berbahaya selain mahkamah menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Noor Aisyah Mat Isa, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata parang ke atas Inspektor Tie Ngie Sieng, 34, di lokasi, jam dan tarikh sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dengan sebat, atau dengan mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Dalam prosiding sama, Yik Hoong juga didakwa telah menghalang seorang penjawat awam secara agresif dengan menjerit, mengamuk dan melibas parang kepada Asistan Superintenden Misran Osman bersama empat anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak ketika mereka membuat serbuan di rumah tertuduh, di lokasi, jam dan tarikh sama.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Mahkamah juga menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Ainaa Liyana Mohd Talal, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pegawai, anggota polis cedera dilibas parang

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI