Penganjur nafi dakwaan Raja Azlan alami kecederaan serius akibat sengatan ubur-ubur

IPOH – Penganjur acara Teluk Senangin Open Water Swim 2025 menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa anakanda Sultan Perak, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah mengalami kecederaan serius akibat terkena sengatan ubur-ubur.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan sekretariat penganjur semalam, baginda berada dalam keadaan sihat dan baik sepanjang penglibatan dalam acara tersebut.

“Untuk makluman, tiada sebarang kecederaan berat mahupun serius telah berlaku ke atas baginda meskipun ada kecederaan yang sangat ringan pada tangan baginda iaitu terkena sengatan ubur-ubur,”  katanya.

Terdahulu, beberapa laporan media dan kenyataan tular di media sosial mendakwa bahawa baginda telah mengalami kecederaan serius ketika menyertai acara renang terbuka itu.

Turut berangkat ke Teluk Senangin bagi memberi sokongan adalah ayahanda dan ibunda baginda, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

“Keberangkatan tiba baginda berdua telah menyemarakkan lagi suasana acara, dan baginda berdua turut berkenan beramah mesra bersama rakyat jelata, peserta, ibu bapa, pengunjung serta pihak penganjur.

“Keprihatinan dan kemesraan baginda berdua jelas menyerlah, dan telah memberi suntikan semangat serta penghargaan besar kepada semua yang hadir,” ujar kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, penganjur menyifatkan dakwaan kecederaan berat sebagai tidak berasas serta berpotensi mencemarkan nama baik institusi diraja dan keharmonian acara.

“Sebarang dakwaan yang menyatakan berlaku kecederaan berat atau perkara yang boleh mencemarkan nama baik institusi diraja adalah tidak berasas sama sekali dan dianggap sebagai cubaan untuk mencetuskan kekeliruan serta mencemarkan keharmonian acara.

“Justeru, kami ingin menyeru kepada semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan dan kegusaran awam.

“Kami juga ingin menzahirkan penghargaan kepada semua petugas keselamatan, perubatan, sukarelawan dan peserta yang telah memberikan kerjasama penuh sepanjang acara berlangsung,” jelasnya.

Semalam, media melaporkan seramai 30 peserta Teluk Senangin Open Water Swim 2025 daripada 225 peserta yang menyertai acara itu mengalami kecederaan akibat terkena sengatan ubur-ubur dalam acara berkenaan.

Kesemua mangsa yang berusia antara 11 hingga 15 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan stabil. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Insiden disengat ubur-ubur: Penganjur perlu maklum kepada pihak berkuasa berkaitan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI