TELUK INTAN – Seorang pengarah syarikat kerugian RM98,550 selepas mendakwa ditipu sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pejabat pendidikan daerah (PPD), pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu menerusi laporan polis yang dibuat wanita yang berusia 53 tahun itu, pada jam 8.20 malam.
Katanya, hasil siasatan awal pihak polis mendapati mangsa telah menerima satu pesanan mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita warga tempatan tidak dikenali yang mendakwa daripada PPD pada 29 November lalu.
“Suspek telah menawarkan kepada syarikat mangsa satu kontrak membekalkan peralatan mengajar iaitu projektor dengan nilai kontrak sebanyak RM150,000.
“Suspek juga memberi surat pesanan kerajaan (LO) yang palsu atas nama PPD kepada mangsa melalui pesanan WhatsApp sehingga mangsa mempercayai yang syarikat beliau mendapat kontrak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Adnan, bagaimanapun mangsa memaklumkan kepada suspek bahawa syarikatnya tidak dapat membekalkan projektor kepada suspek kerana syarikat miliknya hanya menjual dan membekalkan peralatan tulis.
Kata beliau, suspek kemudian meminta pengarah syarikat terbabit menghubungi satu lagi pihak yang didakwa kononnya sebagai syarikat pembekal projektor serta membuat tempahan peralatan mengajar berkenaan.
“Mangsa telah menghubungi pihak didakwa syarikat pembekal yang dicadangkan oleh suspek Untuk membeli peralatan mengajar berkenaan.
“Wanita itu telah membuat tiga transaksi wang secara atas talian kepada sebuah akaun bank yang diberikan suspek dengan jumlah RM98,550.
“Setelah menunggu, wang milik mangsa tidak dikembalikan serta mangsa tidak dapat menghubungi suspek tersebut,” katanya lagi.
Tambah beliau, pada Selasa rakan mangsa telah berkongsi satu hantaran media sosial Facebook yang mengatakan syarikat pembekal yang berurusan dengan wanita terbabit adalah ‘scammer’ dengan menggunakan nama PPD.
Ujar beliau lagi, mangsa yang telah mengesyaki dirinya ditipu pihak ‘scammer’ kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: