Pengasingan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya buka lembaran baharu

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menyifatkan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan membuka lembaran baharu dalam institusi perundangan negara.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, keputusan kerajaan itu menyebabkan satu jabatan profesional yang khusus untuk pendakwaan bakal diwujudkan.

“AGC menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Jabatan ini akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan jayanya,” ujar beliau kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mohd Dusuki mengulas kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bahawa kerajaan secara dasar bersetuju untuk mengasingkan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Ini bermakna, kedua-dua jawatan itu diwujudkan secara berasingan dan setara berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Semalam Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, Kabinet membuat keputusan bersejarah itu selepas berpuas hati dengan model pengasingan kuasa yang dibentangkan.

Ujar beliau, keputusan itu diambil selepas meneliti laporan akhir dan hala tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara itu, Azalina dalam satu kenyataan menjelaskan, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.

“Pada masa yang sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45],” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI