KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menghentikan pengeluaran lesen untuk mengimport rokok dalam usaha membanteras penyeludupan rokok haram ke Malaysia.
Kerajaan juga disyor melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia dalam menangani aktiviti penghantaran semula haram di perairan antarabangs dan semak semula peraturan sedia ada untuk menutup kelompongan yang boleh dieksploitasi oleh penyeludup.
Kerajaan perlu membekalkan Kastam dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dan agensi penguat kuasa dengan lebih banyak sumber serta peralatan moden secukupnya untuk menandingi bot laju yang digunakan dalam penyeludupan rokok haram dan membentuk kerjasama awam-swasta antara agensi penguat kuasa dan industri tembakau tempatan.
Konfederasi Pengilang Tembakau Malaysia mempunyai sumber, perisian pengesanan, kepakaran dan rangkaian kukuh dengan agensi penguat kuasa antarabangsa untuk menyediakan platform yang berkesan dalam perkongsian data serta kerjasama siasatan.
Presiden, Persatuan Integriti dan Tadbir Urus Malaysia, Datuk Seri Dr. Akhbar Satar berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan langkah konkrit untuk menangani penyeludupan rokok haram dan membanteras ekonomi gelap akan mengakibatkan kerugian berterusan terhadap hasil kerajaan.
Menurutnya, modus operandi dikendalikan oleh sindiket sangat teratur hingga mereka meraih kira-kira RM5 bilion hasil daripada urus niaga rokok haram, mengakibatkan kerajaan kehilangan RM2 bilion setiap tahun dalam bentuk cukai yang tidak dibayar.
“Dalam keadaan dana untuk program pembangunan amat terhad serta suasana ekonomi global yang mencabar, kerugian sebegini adalah sesuatu yang rakyat tidak mampu tanggung,” katanya dalam satu kenyataan.
Tinjauan Nielsen pada Mei 2025 mengesahkan 55% atau enam daripada setiap sepuluh kotak rokok yang dijual di Malaysia adalah rokok haram dan rokok-rokok haram ini kebanyakannya datang dari negara seperti Vietnam, China dan Indonesia, yang diseludup menggunakan kontena 40 kaki yang membawa 1,000 kotak induk (50 karton x 10 paket x 20 batang) atau 10 juta batang rokok.
Akhbar berkata, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah berusaha untuk melumpuhkan sindiket ini dan syarikat-syarikat yang dipercayai terlibat dalam penyeludupan rokok dan cerut, namun, sindiket ini kadangkala kelihatan selangkah di hadapan usaha pihak penguat kuasa.
Beliau mendakwa, 90% daripada rokok haram yang diseludup ke Malaysia pada masa ini tiba melalui laluan pesisir pantai.
Muatan rokok ini, dimuatkan ke atas kapal sewaan persendirian di Vietnam dan Indonesia, kemudian dipindahkan ke bot laju kecil di perairan antarabangsa di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia.
“Modus operandi ini digunakan kerana pihak penguat kuasa Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa di perairan antarabangsa.
“Bot kecil ini kemudian menyusuri garis pantai yang panjang antara Terengganu dan Johor untuk memunggah rokok haram di lokasi tertentu seperti jeti persendirian bagi mengelakkan dikesan,” katanya.
Dakwa beliau, Kuala Besut kini merupakan kawasan panas bagi aktiviti pemindahan dari kapal ke kapal (STS) rokok haram.
Sehubungan itu, beliau berkata, kegagalan melaksanakan langkah konkrit untuk menangani penyeludupan rokok haram dan membanteras ekonomi gelap akan mengakibatkan kerugian berterusan terhadap hasil kerajaan. – MalaysiaGazette