Pengendalian arak: Jakim perlu libatkan pekerja kru kabin – NUFAM

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta melibatkan pekerja-pekerja penerbangan dalam isu pengendalian arak oleh pekerja Islam.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kabin (NUFAM) berkata, jabatan itu mungkin perlu meneliti isu tersebut secara serius kerana ia merupakan antara kebimbangan besar pekerja-pekerja kabin sejak beberapa dekad lalu tetapi sehingga hari ini tidak ditangani.

“Mungkin dasar baharu perlu dilakukan dalam mencari jalan bagaimana menangani pekerja Islam dalam mengendalikan alkohol kerana ia adalah sebahagian daripada tugas mereka.

“Sebelum ini ada seorang pekerja dikenakan teguran kerana enggan menghidangkan minuman tersebut kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini.

NUFAM mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Zulkifli Hasan di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menyatakan Jakim akan meneliti cadangan supaya kedai serbaneka menggunakan mesin layan diri untuk menjual minuman beralkohol supaya pekerja Islam mereka tidak perlu mengendalikan barangan tersebut.

Oleh itu, Jakim mengalu-alukan cadangan orang ramai untuk menangani isu orang Islam mengendalikan minuman beralkohol di tempat kerja.

Zulkifli menjawab soalan yang dikemukakan Suhaizan Kayat (PH-Pulai), yang bertanya sama ada terdapat mekanisme untuk kakitangan Islam bekerja tanpa perlu mengendalikan minuman beralkohol.

Sekretariat NUFAM berkata, kru kabin sebenarnya tidak tertakluk untuka menghidangkan minuman beralkohol kepada penumpang semasa penerbangan.

Namun, ia adalah keperluan yang didorong oleh dasar perkhidmatan penerbangan sesebuah syarikat penerbangan.

Sejak bertahun-tahun syarikat penerbangan telah menghidangkan alkohol semasa penerbangan kepada penumpang di sektor antarabangsa.

“Oleh itu, kami percaya jika Jakim mahu menumpukan usaha mengawasi peraturan baharu ini atau menyederhanakan dasar dan melakukan perubahan baharu, biarkan ia dilihat adil untuk semua pekerja Islam dan bukan hanya tertumpu untuk industri tertentu sahaja.

“NUFAM percaya jika ia mampu dilaksanakan, ia akan menjadi lonjakan besar yang mana syarikat penerbangan juga perlu mengharamkan minuman beralkohol dalam semua penerbangannya,” ujarnya.

Pengharaman pengambilan alkohol semasa penerbangan mempunyai beberapa kesan positif kerana boleh menghalang komplikasi perubatan bagi penumpang yang mungkin berisiko diri daripada pengambilan alkohol yang berlebihan semasa penerbangan.

“Ini kerana kami telah melihat banyak kes melibatkan kemarahan udara dan kes gangguan seksual semasa penerbangan yang melibatkan penumpang mabuk,” tambah NUFAM.

Kesatuan itu berkata, terdapat beribu-ribu pekerja Islam yang bekerja secara langsung dalam rangkaian perkhidmatan makanan dan minuman yang merangkumi hotel, kelab golf dan restoran.

Sehubungan itu, NUFAM begitu teruja untuk melihat dasar baharu dirangka sekiranya Jakim diberi kuasa penuh untuk mengubah dasar berkaitan pengendalian arak dalam kalangan pekerja Islam di negara ini.

Menurutnya, perubahan ini, jika berlaku sudah tentu memberi manfaat kepada pekerja Islam di negara ini kerana ramai pekerja yang dalam keraguan dan kebimbangan termasuk menghidangkan arak ketika mereka berpuasa pada bulan Ramadan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI