IPOH – Pengetua Orang Asli pertama di Malaysia, Rasila Yas diberi penghormatan menerima Anugerah Ikon Orang Asli Simposium Komuniti Orang Asli Perak 2025.
Rasila yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menglembu merupakan individu pertama daripada komuniti Orang Asli yang menerima anugerah tersebut.
Anugerah yang disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangan Pengetua berusia 54 tahun itu.
Berasal daripada daripada suku kaum Tenuan, Rasila dilahirkan di Baling, Kedah dan dibesarkan di Pengkalan Hulu, Perak.
Beliau menganggap penghargaan yang diterima sebagai pengiktirafan dan penghormatan terhadap pencapaiannya sepanjang bergelar pendidik.
“Saya anggap (anugerah ini) sebagai satu penghargaan untuk saya dan melalui pendidikan kita dapat mengubah kehidupan anak-anak Orang Asli kepada yang lebih baik.
“Jadi saya hendak sebarkan kepada semua ibu bapa masyarakat Orang Asli supaya diberi pendidikan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Simposium Komuniti Orang Asli Negeri Perak 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Menyentuh mengenai perkembangan pendidikan anak-anak Orang Asli, Rasila berkata terdapat peningkatan terutamanya kemasukan mereka ke institusi pengajian tinggi.
“Bagaimanapun, ia masih agak perlahan, maknanya perlu ada lebih banyak program bersesuaian supaya peningkatan kemasukan lebih lancar.
“Contoh, seperti saya sendiri, menunggu lebih 60 tahun untuk melahirkan seorang pengetua itu, saya rasa agak terlalu lama. Jadi, saya rasa perlu ada satu program yang lebih drastik.
“Mungkin mereka yang sudah berjaya itu sendiri perlu tampil ke hadapan, membantu balik masyarakat Orang Asli,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
87 pelajar Orang Asli cemerlang SPM ditawar biasiswa penuh MARA