KUALA LUMPUR – Slip gaji, gaji minimum dan kontrak lisan antara manfaat buat penggiat seni nikmati perlindungan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang baru dibentangkan di Parlimen.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, dengan adanya RUU khususnya dalam Fasal 13, diwajibkan pekerja gig meminta slip pendapatan.
Jelas beliau, majikan pula wajib mengemukan slip itu dan sekiranya gagal, laporan boleh dibuat kepada pada Jabatan Tenaga Kerja.
“Kalau didapati bersalah, majikan boleh dikenakan hukuman mengikut penalti yang ditetapkan dalam undang-undang. Kita buat jelajah untuk berikan pencerahan supaya pekerja gig dan juga industri faham apa implikasinya selepqs lulus RUU ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Khas Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 di Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Mengulas lanjut, Steven berkata, pekerja gig yang dimaksudkan bukan hanya sekadar e-hailing namun merangkumi definisi lebih luas.
Katanya, golongan itu juga akan dilindungi contohnya dalam kontrak lisan.
“Ada yang kata selalunya kontrak dalam sektor ini secara lisan. Apa akan terjadi kalau lisan ini hendak dibawa untuk dipertikai.
“Tetapi di bawah RU ini definasinya adalah perjanjian perkhidmatan, ertinya apa-apa perjanjian sama ada secara lisan atau bertulis nyata atau tersirat.
“Ini juga boleh dikatakan menangani antara isu sering dihadapi penggiat sektor seni,” katanya.
Steven menambah, kadar bayaran juga menjadi keutamaan dalam RUU itu bagi memastikan jumlah jam mengikut gaji minimum.
Minggu lalu, Parlimen meluluskan RUU Pekerja Gig 2025 selepas tujuh tahun proses penggubalan dilakukan.
RUU dengan 112 fasal itu dibentangkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, dan diluluskan selepas dibahaskan 23 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
RUU itu turut memperincikan empat aspek utama iaitu definisi pekerja gig; penubuhan majlis tiga hala bagi menetapkan pendapatan dan syarat kerja; mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan keselamatan sosial.
RUU berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara. – MalaysiaGazette