IPOH – Polis menahan seorang penghantar barang serta merampas 16.6 kilogram ketulan dadah mampat jenis ganja berjumlah RM51,500 di sebuah hotel bajet di Jalan Mohamad, Sitiawan, Isnin lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek lelaki berusia 29 lelaki itu ditahan sekitar jam 5 pagi Isnin lalu kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.
Menurutnya, soal siasat, ke atas suspek telah membawa pasukan serbuan ke sebuah kereta yang diletakkan di kawasan parkir hadapan hotel tersebut.
“Hasil pemeriksaan di dalam kereta, pihak polis telah menjumpai dan merampas 16 ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 16,607 gram bernilai RM51,500.
”Ujian saringan awal air kencing telah dijalankan dan mendapati suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinnol (THC) atau ganja dan suspek mempunyai mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan kes dadah dan jenayah.
“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Pelucuthakan Harta) 1988 dan menyita wang tunai campur-campur berjumlah RM500.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita adalah RM52,000,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Noor Hisam memaklumkan, sindiket tersebut dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Mac tahun ini.
“Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di sekitar kawasan tempatan dan negeri Perak,“ ujarnya.
Katanya, suspek terbabit direman selama tujuh hari mulai 5 hingga 11 Mei dan kes disiasat di bawah seksyen 39B ADB 1952. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pasangan kekasih antara ditahan edar dadah RM4.6 juta