IPOH – Seorang penghuni pusat jagaan swasta dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas menyebabkan kematian penghuni lain pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Firdaus Zohare, 32, mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Azizah Ahmad.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap Muhammad Afiq Wafiuddin Lokeman, 25, dengan niat hendak menyebabkan kematian, dengan melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.
Perbuatan tersebut dilakukan Muhammad Firdaus di sebuah pusat jagaan swasta di Lengkok Batu Bungkal, Housing Trust, di sini pada jam 7.45 pagi 31 Disember 2024.
Oleh itu, dia dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Vitthiyeswary memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan perubatan mangsa selain bagi mendapatkan pengesahan keadaan mental tertuduh yang sudah menghuni di pusat jagaan itu sejak lapan tahun lalu.
Dalam pada itu, tertuduh yang berasal dari Pedas, Negeri Sembilan memohon mahkamah untuk menghantarnya ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan untuk menerima rawatan.
Ini kerana tertuduh pernah mendapatkan rawatan di hospital itu selama sebulan dan enam bulan sebelum ditempatkan di pusat jagaan tersebut.
Azizah kemudiannya membenarkan tertuduh menjalani pemantauan di HBUK selama sebulan serta menetapkan 18 Februari depan untuk sebutan semula kes. – MG Perak
Artikel Berkaitan: