IPOH – Kerajaan perlu diberi ruang untuk meneliti secara menyeluruh berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, dalam tempoh terdekat ini dijangka ada beberapa perkara yang akan diumumkan tanpa menggadaikan atau mengetepikan prinsip-prinsip asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya tidak fikir bahawa tuntutan itu harus diterima dengan sebulatnya tetapi harus juga kita ambil kira beberapa pertimbangan penting.
“Umpamanya seperti yang disebutkan tentang keutamaan kita untuk meletakkan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa ilmu, bahasa perantaraan utama, bahasa yang penting sebagai salah satu mungkin syarat kelayakan untuk sesuatu sijil itu diiktiraf termasuk beberapa mata pelajaran yang lain seperti sejarah dan sebagainya.

“Ini penting supaya apa sahaja keputusan kita yang melibatkan soal dasar ini, dia tidak bercanggah dengan prinsip dan juga pendirian kita di bawah Perlembagaan Persekutuan. Itu harus kita pertahankan,“ katanya yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan khas bersama wakil petani-petani Cina Parlimen Tambun di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Kuala Kuang, Chemor pada Jumaat.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, sebarang tuntutan yang melibatkan isu bahasa, agama dan kaum perlu mengambil kira kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC.
Tindakan itu mencetuskan reaksi Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang menempelak DAP sambil menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi berhubung perkara tersebut dan merayu agar Perdana Menteri tidak memenuhi tuntutan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


