Pengundi Amanah dan komponen PH diyakini mudah pilih calon BN

TAPAH – Pengundi Parti Amanah Negara (Amanah) dan komponen Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diyakini dengan mudah akan memilih calon Kerajaan Perpaduan daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 April ini.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana setiap parti komponen PH akan memastikan undi yang diperoleh calon Amanah pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dipindahkan kepada Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri.

Beliau berkata, Amanah diberi tanggungjawab untuk memastikan lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Keramat, Ayer Kuning, Ayer Kuning Selatan, Sungai Kroh dan Batu Tiga mengekalkan kemenangan BN di Ayer Kuning.

“Tugas kita adalah untuk memastikan undi dalam kalangan ahli Amanah di lima PDM yang mana tiga daripadanya dimenangi Amanah pada PRU lalu dipindahkan kepada calon BN, Ustaz Yusri.

“Ini gerakan yangg sedang digerakkan daripada Amanah khususnya kepada lima PDM yang menjadi tumpuan dan diberi tanggungjawab kepada kami dan Alhamdulillah setakat sekarang kita dapat gerakkan usaha-usaha mengumpul dana mengenal pasti pengundi daripada Amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Majlis Jamuan Aidilfitri KRT, JPKK, Komuniti Madani Tapah Road di Dewan Serbaguna Taman Indah, di sini, pada Selasa.

Hadir sama calon BN bagi PRK Ayer Kuning, Ustaz Yusri; Ketua UMNO Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Naib Ketua UMNO Parit, Khairudin Abu Hanipah.

Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sekiranya calon BN berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi N48 berkenaan ia akan menjadi nilai tambah dalam mengangkat hubungan kerjasama antara parti-parti Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Ini akan memperkukuhkan lagi kepada hubungan sedia ada dari segi kersama yang berjaya dilakukan,” katanya.

Terdahulu Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, parti berkenaan yakin dapat membantu memenangkan lima PDM yang dipertanggungjawabkan kepada parti itu dalam memastikan kerusi DU Ayer Kuning kekal milik BN.

Mohamad Sabu berkata, jentera parti itu diyakini mampu menepis dakyah pembangkang terutama berhubung dakwaan Islam terancam di negara ini. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI