TAPAH – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berharap, calon yang diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 26 April depan rajin turun padang menyelesaikan masalah serta mesra rakyat.
Ketua Imam Masjid Jamek Sungai Lesong, Othman Shah Mat Johari berkata, sesiapa sahaja yang dipilih untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu akan diterima dengan hati terbuka.
“Bagi kami, siapa sahaja yang dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, kami terima dengan hati terbuka seperti Datuk Samsudin Abu Hassan dan Allahyarham Ishsam Shahruddin yang sentiasa bergaul mesra bersama kami di sini.
“Kami berharap inidividu yang dilantik akan menjadi pemimpin yang prihatin, lebih mesra bersama warga masjid serta membantu dalam melengkapkan keperluan pembangunan masjid-masjid sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette Perak (MG Perak) hari ini.
Kakitangan swasta, Nor Amalina Ahmad, 34, yang juga penduduk di Kampung Baru Sungai Kroh berkata, dia mahukan wakil rakyat yang dapat membela nasib dan kebajikan rakyat sepertimana kepimpinan yang ditunjukkan Allahyarham Ishsam.
Menurutnya, sepanjang menjadi wakil rakyat, Allahyarham Ishsam rajin turun padang menghadiri program melibatkan pengundi Ayer Kuning serta tidak lokek dalam menghulurkan bantuan pada bila-bila masa.
“ADUN sebelum ini, sangat baik dan mudah mesra rakyat. Saya sendiri pernah berjumpa arwah (Ishsam) dalam pelbagai program.
“Sebelum arwah meninggal, saya sempat berjumpanya dalam program di Tasik Temoh, dia kata kalau hendak buat program bersama jemput saja dia atau jika minta sumbangan, dia amat mengalu-alukan.
“Saya harap calon akan datang ini dapat ‘sebiji‘ macam arwah ataupun lebih baik kerana kita mahu bersama-sama menaikkan taraf DUN Ayer Kuning khususnya dari segi pembangunan, pendidikan dan perkara yang dapat memanfaatkan rakyat,“ ujarnya.
Warga emas, Ahmad Ulawi Idris, 82, cuma mahukan calon yang terpilih nanti senang dihubungi pada bila-bila masa di samping mempunyai sifat mesra rakyat seperti yang keperibadian Allahyarham Ishsam.
Pada Jumaat media melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang, Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (PH) (6,875), Perikatan Nasional (PN) (6,812), Parti Pejuang Tanah Air (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – MG Perak
Artikel Berkaitan: