Pengurus Besar PPK Gerik mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu

IPOH – Seorang Pengurus Besar Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Jumaat atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fuad Omar, 40, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi didakwa memperdayakan prinsipal dengan dokumen invois atas nama sebuah syarikat bertarikh 30 September 2019 bagi bayaran penyelenggaran kenderaaan Pejabat PPK Gerik, jenis Toyota Hilux berjumlah RM1,975.

Prinsipal tertuduh, iaitu Pejabat PPK Gerik mempunyai kepentingan dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia mengandungi butiran palsu yang mana dokumen invois asal berjumlah RM288, pada atas nama syarikat dan tarikh sama.

Sementara pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memperdaya prinsipalnya melalui dokumen pembelian atas nama sebuah syarikat berasingan bertarikh 11 September 2019, bagi tujuan pembelian barangan untuk kegunaan di kedai Agrobazar PPK Gerik berjumlah RM1,155.20.

Tertuduh didakwa mempunyai sebab mempercayai ia mengandungi butiran palsu apabila dokumen asal berjumlah RM167.60, pada atas nama syarikat serta tarikh sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat PPK Gerik, dalam Daerah Hulu Perak pada September 2019.

Pendakwaan kedua-dua kesalahan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 24 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu, jika butir matan yang palsu itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada masa sama, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan, secara tidak jujur menggunakan satu dokumen sebagai tulen bagi tuntutan bayaran tersebut yang dipercayainya adalah palsu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi, dan tarikh sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Pahmi Ahmad dan Sharul Azuan Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam, Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek.

Ketika prosiding, pasukan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan wang jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan kepada tertuduh dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Perak setiap bulan.

Raja Mohd Iskandar Zulkharnian kemudian memohon agar mahkamah membenarkan jaminan minima sebanyak RM8,000 kepada anak guamnya.

Menurutnya, Mohd Fuad merupakan penanggung tunggal keluarganya melalui pendapatan RM4,600 sebulan di samping sedang menjalani rawatan penyakit diabetes di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lelaki itu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Perak di Meru Raya sebulan sekali tanpa gagal.

14 November depan ditetapkan mahkamah sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pemilik restoran nasi kandar didenda, mengaku beri rasuah RM10,000

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI