LENGGONG – Pengurusan masjid dan surau kini berdepan cabaran yang semakin kompleks, termasuk isu pematuhan tauliah penceramah, tadbir urus kewangan, pengurusan aset wakaf serta keperluan mematuhi ketetapan pihak berkuasa agama.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, situasi tersebut menuntut tahap profesionalisme yang tinggi daripada pihak pengurusan bagi memastikan institusi masjid terus kekal diyakini dan dihormati oleh masyarakat.
“Kepercayaan masyarakat terhadap institusi masjid hanya dapat dipelihara apabila pengurusan dilaksanakan secara telus, berdisiplin dan berlandaskan peraturan.
“Setiap kelompangan perlu ditangani secara berhemah agar kesucian masjid terus terpelihara dan peranannya sebagai institusi penyatuan umat tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Simposium Pengurusan Masjid dan Surau Parlimen Lenggong di Dewan Merdeka di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Sehubungan itu, Saarani menegaskan jawatankuasa masjid dan surau perlu bersikap terbuka untuk menerima teguran serta berlapang dada apabila diaudit atau dipantau oleh pihak berkuasa.
“Proses pemantauan tersebut bukan bertujuan menghukum, sebaliknya sebagai usaha memperbaiki kelemahan dan memperkukuhkan sistem pengurusan sedia ada.
“Dalam hal ini, peranan pihak berkuasa agama negeri amat penting sebagai pembimbing dan penyelaras supaya pengurusan masjid dan surau sentiasa berada dalam landasan yang betul,” ujarnya.
Katanya, hubungan yang baik antara jawatankuasa masjid, jabatan agama serta komuniti setempat menjadi asas kepada kestabilan dan keharmonian masyarakat.
“Apabila setiap pihak memahami peranan masing-masing, urusan pentadbiran masjid akan menjadi lebih kemas, teratur dan diyakini,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


