Pengurusan masjid sambut baik pengumuman Belanjawan Perak

IPOH – Pihak pengurusan masjid menyambut baik pengumuman Kerajaan Perak berkenaan peruntukan RM111.9 juta kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk disalurkan termasuk kepada masjid menerusi Belanjawan Negeri Perak 2025.

Imam Utama Masjid Panglima Kinta, Samsudin Ismail , 74, peruntukan itu dilihat akan dapat membantu mempertingkatkan lagi usaha mengimarahkan masjid dan merancakkan lagi perkembangan Islam di negeri ini.

“Kami di sini sentiasa dalam usaha menarik lebih ramai masyarakat untuk ke masjid melalui pelbagai kaedah.

“Di samping aktiviti ibadah dan keagamaan, masjid ini juga sentiasa mengadakan program seperti lawatan ke galeri, kuliah agama serta kelas-kelas tajwid,” katanya ketika ditemui MG Perak di Masjid Panglima Kinta, dekat sini.

Pengurusan masjid belanjawan negeri saarani kerajaan negeri perak peruntukan mengimarahkan usaha majis panglima kinta
Imam utama Masjid Panglima Kinta, Ipoh, Samsudin Ismail, 74. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 DISEMBER 2024.

Menurut Samsudin, pihaknya menyambut baik pengumuman yang dibuat Menteri Besar Perak melalui Belanjawan Negeri 2025 selain memberitahu ia akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Kata beliau, pengurusan Masjid Panglima Kinta juga merancang untuk mewujudkan pelbagai aktiviti riadah yang diharap dapat menarik lebih ramai kehadiran jemaah dalam kalangan golongan muda.

Pengurusan masjid belanjawan negeri saarani kerajaan negeri perak peruntukan mengimarahkan usaha
Geleri Panglima Kinta, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 DISEMBER 2024.

“Sekiranya kami menerima sebahagian daripada peruntukan itu, kami memang merancang untuk ia disalurkan bagi usaha kami mewujudkan sesi pengajian silat di masjid.

“Di samping itu, kami juga dalam perancangan untuk membangunkan kawasan bagi sukan papan selaju sebagai usaha menarik minat lebih ramai golongan remaja ke sini,” katanya lagi.

Setiausaha Jawatankuasa Masjid Panglima Kinta, Adib Vincent Tong Abdullah, 65, yang turut senada berkata, peruntukan yang diumumkan itu dilihat dapat membantu menguruskan soal pembaikan masjid terutama masjid-masjid yang berusia.

Pengurusan masjid belanjawan negeri saarani kerajaan negeri perak peruntukan mengimarahkan usaha majis panglima kinta
Masjid Panglima Kinta, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 DISEMBER 2024.

Kata beliau, masjid Masjid Panglima Kinta yang dibina pada tahun 1898 itu berhadapan dengan masalah kutipan bulanan rendah kerana ia tidak mempunyai kariah.

“Disebabkan masjid ini berusia lebih daripada 100 tahun maka sering berlaku masalah kebocoran pada bumbung dan dinding.

“Oleh kerana ia telah diwartakan sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2012, maka kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 dengan merujuk kepada pihak pakar.

“Dan hal ini juga mengakibatkan pihak pengurusan masjid perlu mengeluarkan belanja besar untuk memastikan bangunan masjid ini terus terpelihara Dan kami juga berharap peruntukan ini dapat meringankan lagi beban kewangan kami,” jelasnya.

Setiausaha Jawatankuasa Masjid Panglima Kinta, Ipoh, Adib Vincent Tong Abdullah, 65. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 DISEMBER 2024.

Tambah Adib, sekiranya peruntukan kerajaan negeri diterima kelak, pihak pengurusan masjid juga bercadang untuk menawarkan satu lagi jawatan pemandu pelancong masjid pada masa hadapan.

“Setakat ini Masjid Panglima Kinta hanya ada seorang ‘mosque tour guide’ atau pemandu pelancong masjid yang mana turut diiktiraf pihak berkuasa.

“Pemandu pelancong masjid yang dilantik bukan sahaja berperanan dalam memberi penerangan berkaitan nilai sejarah bangunan masjid, malah dia juga memainkan peranan penting dalam menerangkan tentang salah faham orang bukan Islam tentang Islami,” ujarnya lagi.

Geleri Panglima Kinta, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 DISEMBER 2024.

Melalui Belanjawan Negeri Perak 2025, Saarani mengumumkan peruntukan berjumlah RM111.9 juta kepada JAIPk iaitu peningkatan mencecah RM9.3 juta berbanding belanjawan sebelum ini.

Peruntukan itu meliputi RM105.0 juta bagi operasi jabatan, Institut Tadbiran Islam Perak, pengurusan masjid, Sekolah-Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri.

Turut disalurkan RM6.9 juta bagi penyelenggaraan enam masjid utama negeri, menaik taraf sekolah-sekolah menengah agama negeri dan sekolah menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta menaik taraf pejabat-pejabat agama daerah.

Di samping itu, Perak juga meneruskan peruntukan RM15 juta bagi baik pulih dan bina baharu masjid serta surau, manakala RM5 juta pula diperuntukkan untuk Program Menaiktaraf Institusi Pendidikan Islam. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak belanja RM15 juta baik pulih, bina baharu masjid

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI