Pengusaha chalet, resort Pulau Pangkor minta segera selesaikan isu tekanan air rendah

LUMUT – Lebih daripada 30 pengusaha chalet dan resort sekitar Pulau Pangkor dihantui masalah tekanan air rendah sejak sekian lama sehingga menjejaskan operasi perniagaan mereka.

Seorang pengusaha chalet, Manshor Bakar, 60, berkata, masalah itu menjadi kian ketara apabila tibanya waktu puncak seperti musim cuti sekolah.

Katanya, walaupun dia sudah menyediakan dua buah tangki air, namun ia tidak mampu untuk menampung keperluan sumber air bersih kepada pelancong yang menginap di chalet miliknya.

pulau pangkor pelancong pangkor perak tahun melawat perak lumut manjung pangkor
Pelancong yang mengunjungi Pulau Pangkor. Foto ABDULLAH YUSOF.

Malah jelasnya, masalah tekanan air rendah yang dihadapinya itu sering berlaku sehingga lebih daripada tiga kali dalam seminggu.

“Kekerapan berlakunya masalah air ini sehingga ia terjadi tanpa sebarang amaran atau notis awal yang diberikan kepada kami. Jika ada notis sekali pun, ia jarang diberikan.

“Apabila masalah itu berlaku, kami sering diajukan rungutan daripada pelanggan tentang masalah ini, walhal ia luar daripada kawalan kami,” katanya ketika ditemui MG Perak.

pulau pangkor perak masalah tekanan air pulau pangkor perak masalah tekanan air
Penolong pengurus chalet di Pulau Pangkor, Shareena Sabtu. Foto ABDULLAH YUSOF.

Selain itu, Shareena Sabtu, 40, yang juga penolong pengurus salah sebuah chalet di Pulau Pangkor, berkata, chalet yang dibangunkan keluarganya sejak 30 tahun lalu juga sering berhadapan dengan masalah sama sejak sekian lama.

Malah, penolong pengurus chalet itu berkata, pihaknya mengalami kerugian hampir ribuan ringgit ekoran daripada tindakan pelanggan yang mahu mendapatkan semula bayaran semula separuh daripada kadar harga bilik yang ditempah.

Menurutnya lagi, masalah tekanan air rendah itu didakwa sering berlaku pada waktu petang, malah adakalanya berlarutan sehingga awal pagi keesokan harinya.

“Ada pelanggan yang berlari ke kaunter kami dan memaklumkan mengalami masalah tekanan air rendah sehingga menyukarkannya untuk memandikan anaknya.

“Kemudian, selepas hendak daftar keluar, mereka akan meminta semula bayaran separuh daripada kadar harga bilik dek kerana masalah yang dihadapinya itu. Dan itu yang merugikan kami,” katanya.

pulau pangkor perak masalah tekanan air pulau pangkor perak masalah tekanan air
Masalah tekanan air rendah sehingga menjejaskan operasi perniagaan pengusaha chalet dan resort ketika ditemui MG Perak di Pulau Pangkor. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 FEBRUARI 2024.

Tambah Shareena, masalah tekanan air yang rendah itu juga dibimbangi akan merencatkan kempen pelancongan Kerajaan Negeri Perak iaitu Tahun Melawat Perak 2024 di mata para pelancong.

“Kami mahu berikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong dari dalam dan luar negara bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2024 ini, namun perkara-perkara sebegini amat merungsingkan kami,” katanya lagi.

pulau pangkor perak masalah tekanan air pulau pangkor perak masalah tekanan air
Salah seorang pengusaha resort di Pulau Pangkor, T Ragu, 54. Foto ABDULLAH YUSOF.

Dalam pada itu, seorang pengusaha resort, T Ragu, 54, berkata, selain wang ringgit, antara kerugian yang dialaminya ekoran daripada masalah tekanan air rendah itu adalah dari segi maklum balas negatif yang ditinggalkan pelanggan pada enjin carian Google.

Katanya, ia bukan sahaja memburukkan nama resort, malah akan memberi tanggapan negatif kepada pelancong yang sedang merancang untuk berkunjung ke Pulau Pangkor kelak.

“Jika berlaku sebarang masalah kebocoran paip dan sebagainya di Pekan Pulau Pangkor, ia turut akan menjejaskan kesemua pengguna di sini termasuk pengusaha chalet dan resort.

“Oleh itu saya mencadangkan agar pihak berwajib dapat mewujudkan tangki aras tinggi yang mampu menyimpan sumber air terawat dalam satu kapasiti besar untuk kegunaan semua premis di Pulau Pangkor termasuk penduduknya,” ujarnya.

pulau pangkor perak masalah tekanan air pulau pangkor perak masalah tekanan air
Pengerusi Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Zamzuri Suid. Foto ABDULLAH YUSOF.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Mohd. Zamzuri Suid ketika dihubungi berkata, pihaknya berharap satu pertemuan antara pihaknya dengan Lembaga Air Perak (LAP) dapat diadakan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Pulau Pangkor hanya mendapat bekalan air bersih melalui paip air bawah dasar laut dari tanah besar di Lumut. Kami mahu jalan penyelesaian jangka panjang dapat disegerakan,” ujarnya.

MG Perak sedang berusaha mendapatkan pihak berwajib dan difahamkan akan memberi kenyataan balas dalam masa terdekat. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Enggang Liar Di Pangkor Jinak Dengar Siulan Pak Din

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI