LENGGONG – Sesi libat urus bersama pengendali industri pelancongan yang dianjurkan di Lenggong memberi peluang kepada pengusaha dan ejen pelancongan bertukar pandangan serta cadangan merancakkan kegiatan pelancongan di parlimen ini.
Timbalan Pengarah Kanan Kerajaan Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Perak, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, Lenggong merupakan antara lokasi yang aktif dalam mempromosikan aktiviti pelancongan di kawasannya.
“Penganjuran program bertaraf antarabangsa bukan sahaja menarik kehadiran pelancong tempatan malah juga dari luar negara bagi melihat keindahan yang ada di Tapak Warisan Dunia UNESCO ini.
“Ia juha secara tidak langsung membantu mempromosikan industri pelancongan di kawasan ini menambah pendapatan ekonomi masyarakat di Lenggong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MG Perak pada Sesi Jalinan Kerjasama (Networking) dan Pembangunan Pakej Pelancongan sempena Program Sesi Libat Urus Bersama Pengendali Industri Pelancongan (Tourism Operator) Daerah Lenggong, di Resort Tasik Raban, pada Khamis.
Mengulas mengenai sesi networking antara pengusaha dan ejen pelancongan, Mohd Zairasyahli berkata, ia merupakan platform yang disediakan Kerajaan Negeri Perak dalam merancakkan lagi pelancongan di Lenggong.
“Kerajaan negeri cuba menghubungjalinkan antara pengusaha dengan ejen pelancongan yang hadir pada program ini untuk mereka berbincang, bertukar pengalaman dan maklumat mengenai produk yang ada.
“Di sini pengusaha pelancongan dapat menerangkan dengan lebih dalam tentang prospek mereka kepada ejen yang ada,” katanya.
Tambah beliau, usaha ini membuktikan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja membantu pengusaha pelancongan dari segi peruntukan malah memperbanyakkan lagi promosi bagi menggamit kehadiran pelancong.
“Jadi kami berharap selepas program ini perhubungan antara pengusaha dan ejen pelancongan tidak berhenti sekadar di sini sahaja malah mereka terus berhubung untuk membawa pelancong datang ke Lenggong,” katanya.
Program Sesi Libat Urus Bersama Pengendali Industri Pelancongan (Tourism Operator) Daerah Lenggong yang berlangsung pada 14 dan 15 November merupakan anjuran Pejabat Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee Bersama UPEN Bahagian Kerajaan Tempatan dan Majlis Daerah Lenggong.
Lebih 80 peserta terdiri daripada persatuan, pengusaha dan ejen pelancongan bersama pengusaha produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Lenggong, pengamal media dan agensi kerajaan. -MG Perak
Artikel Berkaitan: