LUMUT – Pengusaha inap desa dan hotel di sekitar Pulau Pangkor akhirnya boleh menarik nafas lega selepas masalah bekalan air pulih sepenuhnya lebih awal daripada jangkaan sebelum ini pada bulan Ramadan.
Pengusaha Mie Homestay, Suhaimi Omar berkata, isu bekalan air berjaya diselesaikan segera dengan usaha serta kerjasama pelbagai pihak antaranya Lembaga Air Perak (LAP), kerajaan negeri, Ahli Majlis Pulau Pangkor termasuk pengusaha hotel dan inap desa.
“Berkat gigih dan kerjasama semua pihak membolehkan kami merealisasikan supaya bekalan air di Pulau Pangkor pulih. Alhamdulillah, pada 20 Februari lalu, ia kembali stabil,” katanya ketika ditemui MG Perak sewaktu melakukan tinjauan berhubung bekalan air pulih di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Suhaimi yang mewakili pengusaha hotel dan inap desa serta peniaga kecil-kecilan di pulau tersebut meluahkan rasa syukur kerana isu ini selesai.
“Dengan kembalinya bekalan air yang stabil, semua jadi cantik, perniagaan boleh berjalan lancar dan pelancong yang sebelum ini takut untuk bercuti sudah boleh datang ke sini.
“Di samping itu, kita juga sudah menghebahkan di media sosial bahawa di Pangkor sudah ada bekalan air yang mencukupi.
“Justeru, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih terutamanya kepada LAP yang bertungkus lumus sepanjang dua minggu dari siang ke malam untuk memastikan kerosakan paip dasar laut dibaiki 100 peratus dan mengembalikan air ke aras yang stabil serta mencukupi,” ujarnya yang menjalankan operasi inap desa di Pangsapuri Damai, Teluk Dalam.
Dalam pada itu, pengusaha Uwais Homestay dan Chalet, Teluk Nipah, Ainol Fazrina Khairudin pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi bantuan sebanyak RM50,000 untuk pengusaha inap desa mendapatkan tangki air tambahan dan pam air.
“Pemberian itu amat membantu di saat getir kami sewaktu gangguan air berlaku. Buat masa sekarang, Alhamdulillah syukur sangat-sangat, selama tiga hari tiada masalah air dan kami berharap sangat perkara ini tidak berulang lagi.
“Pelancong selesa, kami pun dalam keadaan gembira dan mereka (pelancong) akan pulang ke rumah dengan membawa kenangan-kenangan indah dari Pulau Pangkor,” jelasnya.
Pemilik hotel Pangkor Bus Resort Teluk Dalam, Syafiq Rozman, berasa lega kerana dapat menjalankan perniagaan seperti sedia kala.
“Saya tidak perlu risau mengenai tempahan atau pelancong yang perlu cari lokasi lain. Justeru, saya berharap supaya perkara sama tidak berulang.
“Kerajaan negeri dan LAP perlu mengambil tindakan jangka masa panjang untuk menyelesaikan isu tekanan air rendah dan mungkin menukar paip rentas dasar laut baharu,” katanya.
Selain itu, dia berharap pembinaan tangki baharu untuk menampung keperluan penduduk dan pelancong di Teluk Nipah dan Teluk Dalam dapat dilaksanakan segera.
Terdahulu, MG Perak melaporkan, masalah gangguan bekalan air di Pulau Pangkor bermula awal Februari ini kembali pulih sepenuhnya dengan pulau peranginan berkenaan sedia menerima kembali kedatangan pelancong.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia selepas masalah kebocoran di beberapa saluran paip rentas dasar laut yang menjadi punca ketiadaan bekalan air di Pulau Pangkor berjaya diselesaikan LAP. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bekalan air Pulau Pangkor pulih sepenuhnya – Saarani
Bekalan air di Pangkor dijangka pulih sebelum Ramadan
Pengusaha chalet, resort Pulau Pangkor minta segera selesaikan isu tekanan air rendah
[…] Pengusaha inap desa, hotel di Pangkor lega bekalan air pulih […]