Pengusaha kebun durian antara 42 petani terima bantuan bencana

IPOH – Seramai 42 petani di seluruh negeri Perak yang terjejas akibat bencana banjir setakat September tahun ini telah menerima bantuan berjumlah RM169,976.

Pengarah Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman berkata, bantuan tersebut melibatkan kawasan tanaman terjejas seluas 70.25 hektar, meliputi tanaman padi dan durian.

Menurut beliau, bantuan itu disalurkan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Tabung Bencana Pertanian (TBP), yang dikreditkan terus ke dalam akaun petani terlibat.

“Bayaran bantuan berkenaan telah disalurkan kepada mereka yang terkesan, kebanyakannya penanam durian yang turut berdepan kerosakan akibat ribut.

“Petani yang mengusahakan tanaman lain dan terjejas akibat banjir turut menerima bantuan kewangan selepas permohonan mereka diluluskan di peringkat jabatan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya.

bantuan bencana petani Perak bantuan pertanian Perak, petani terjejas banjir, pengusaha durian Perak, Tabung Bencana Pertanian, Tabung Bencana Tanaman Padi, Norsiyenti Othman, Jabatan Pertanian Negeri Perak, bantuan KPKM
Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berucap pada Majlis Perasmian Seminar Kopi Tahun 2025 di Hotel Excelsior, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 OKTOBER 2025.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kopi Perak 2025 anjuran Jabatan Pertanian Negeri di Hotel Excelsior, dekat sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan), Shahril Sabri.

Mengulas lanjut, Norsiyenti berkata, penerima bantuan di bawah TBP layak menerima bayaran sebanyak 50 peratus daripada jumlah kerugian yang dialami susulan bencana tersebut.

Sementara itu kata beliau, pesawah yang layak di bawah TBTP akan menerima bantuan sebanyak RM1,800 bagi tanaman berusia 70 hari dan ke atas, manakala RM768 bagi tanaman yang berusia kurang daripada 70 hari.

Justeru Norsiyenti meminta para petani agar membuat persediaan awal dan memantau keadaan semasa bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula 5 November depan.

“Mungkin ada kawasan yang berisiko ditenggelami air banjir. Pengusaha disaran menyusun semula jadual penanaman kerana ketika ini hujan semakin kerap.

“Kita tidak mahu bencana sebegini memberi kesan besar kepada petani sehingga menjejaskan hasil tanaman,” kata beliau.

Norsiyenti memberitahu, para petani yang terjejas diminta untuk tampil bersama dokumen lengkap bagi memastikan Jabatan Pertanian Negeri dapat mengangkat permohonan bantuan bagi dinilai.

“Begitu juga jika ada tanaman yang terjejas dengan gangguan haiwan liar seperti kera dan gajah.

“Petani yang terkesan boleh memanjangkan permohonan bantuan kepada kami dan boleh dipanjangkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” kata beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah sasar 10,000 pengunjung

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI