IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang membeli barangan dalam kuantiti tidak munasabah di Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, ia termasuk mengenakan tindakan senarai hitam kepada peniaga yang didapati menjual semula barangan yang dibeli pada program berkenaan di tempat lain.
Menurut beliau, pihaknya ada mengesan beberapa kes segelintir peniaga yang datang berulang kali ke program sama dalam sehari untuk membeli barangan dalam kuantiti yang sama.
“Misalnya, pada pagi datang beli dua barang, kemudian pada petang itu juga, dia membeli barang sama dengan kuantiti sama.
“Kita telah kenal pasti dan beri amaran kepada mereka agar tidak mengulangi perbuatan itu. Kami mengesyaki ada pihak yang bertindak seperti sindiket, cuba mengambil kesempatan terhadap program ini.
“Sedangkan matlamat PJRM adalah untuk membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Program Jualan Rahmah KPDN di Bangunan Persekutuan Greentown, dekat sini, pada Jumaat.
Justeru Kamalludin memberitahu, pemantauan ketat akan dilaksanakan di semua lokasi PJRM dengan kerjasama rakan strategik termasuk peniaga dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mengekang aktiviti berkenaan.
“Para pegawai dan rakan strategik yang ditempatkan di setiap PJRM untuk kita terus memantau aktiviti ini kerana ada segelinti para peniaga ini akan cuba mengambil untung (dengan cara tidak betul),” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, sebanyak 983 program PJRM sudah dilaksanakan oleh KPDN Perak sejak awal Januari 2025 sehingga kini di seluruh kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.
Kata Kamalludin, ia melibatkan nilai jualan sebanyak RM53.5 juta, berbanding nilai jualan RM64.1 juta melalui 945 program PJRM sepanjang tahun 2024.
“Bagi statistik penerima manfaat pula, setakat ini, seramai 1.2 juta orang di negeri Perak telah menerima manfaat berbanding 1.7 juta orang bagi tempoh sepanjang tahun lalu.
“Bilangan penerima manfaat pada tahun ini dijangka akan bertambah memandangkan sambutan program PJRM ini seringkali mendapat sambutan dan permintaan yang tinggi,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN Perak rampas 19,000 liter diesel tanpa permit di tapak pembinaan