PHNOM PENH – Pihak berkuasa Kemboja telah menahan tiga rakyat Malaysia iaitu antara 49 yang didakwa terlibat dalam penipuan dalam talian selain merampas 46 kad SIM Malaysia semasa serbuan terbaru di ibu negara pada Ahad.
Media kerajaan Agence Kampuchea Presse melaporkan kumpulan itu menggunakan Kemboja sebagai pangkalan operasinya untuk menipu rakyat Malaysia dan mangsa lain di pelbagai negara menggunakan skim pelaburan palsu.
“Pasukan petugas bersama di bawah Jawatankuasa Komando Bersatu Phnom Penh menjalankan operasi pada petang Ahad di sebuah hotel di Khan Sen Sok di ibu negara.
“Pihak berkuasa berkata, mereka yang ditahan termasuk 43 warga China, tiga warga Malaysia, seorang wanita Vietnam, seorang wanita Myanmar dan seorang wanita Kemboja,” lapor media kerajaan itu pagi ini.
Pasukan keselamatan Kemboja sedang melakukan serbuan meluas ke atas aktiviti penipuan dalam talian dan pusat perjudian haram di seluruh negara itu susulan ikrar kerajaan untuk menghapuskan ancaman kegiatan tersebut menjelang April.
Kemboja melancarkan “Operasi XXL”, kempen utama untuk menghapuskan hab penipuan digital.
Dalam operasi terbaru itu, polis merampas 60 komputer, 31 CPU, satu komputer riba, 687 telefon bimbit dan 46 kad SIM Malaysia, menurut laporan.
Sebelum ini dalam taklimat media khas pada 24 Feb, Scott Schelble, Timbalan Penolong Pengarah, Bahagian Operasi Antarabangsa, Biro Siasatan Persekutuan (FBI), memberi amaran bahawa penipuan dalam talian telah mencapai tahap yang membimbangkan di Asia Tenggara, sebahagian besarnya didorong oleh sindiket antarabangsa yang teratur.
Kementerian Dalam Negeri Kemboja pada Februari memaklumkan lebih 30,000 warga asing yang didakwa terlibat dalam aktiviti jenayah siber telah dihantar pulang sejak Jun tahun lepas manakala lebih 200,000 suspek warga asing meninggalkan negara ini secara sukarela.
Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh menghantar pulang tujuh rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket dalam talian minggu lepas. – BERNAMA


