IPOH – Kerajaan Perak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan itu adalah sebagai penghargaan kepada mereka dalam memastikan kelangsungan pentadbiran dan kejayaan dasar negeri.
Menurutnya, BKK tersebut meliputi semua penjawat awam negeri termasuk Ahli Ex-Officio, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), guru lantikan negeri yang dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Perak, Orang Besar Jajahan serta kakitangan di bawah kontrak Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP).
“Kerajaan negeri turut berbesar hati memanjangkan pemberian BKK ini pada kadar RM600 bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan India serta Tok Batin Kampung Orang Asli.
“BKK ini juga turut dipanjangkan kepada Guru-guru KAFA, Guru I’dadi dan Thanawi pada kadar RM400. Kesemua BKK ini akan diberikan pada Disember 2025,” katanya.
Beliau mengumumkan perkara itu pada Pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Saarani berkata, sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat, mendengar keluhan, mengurus keperluan, menyantuni keluarga memerlukan dan menyelesaikan pelbagai urusan masyarakat di kawasan masing-masing.
“Kerajaan negeri turut memanjangkan BKK kepada semua Pusat Khidmat DUN pada kadar dua bulan elaun, iaitu berjumlah RM20,000 yang akan diberikan pada Januari 2026,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut mengurangkan kadar faedah Pinjaman Kumpulan Wang Pinjaman Kenderaan dan Pinjaman Komputer kepada dua peratus setahun berkuat kuasa 1 Januari 2026 bagi pinjaman kali kedua, bagi membantu penjawat awam meringankan komitmen kewangan.
Tambahnya, inisiatif-inisiatif itu merupakan sebahagian daripada fokus kebajikan modal insan perkhidmatan awam dalam Belanjawan Perak 2026 yang mencerminkan tekad kerajaan negeri memperkukuh pentadbiran serta memastikan perkhidmatan awam terus berdaya saing dan berintegriti.
“Diharap pemberian ini menjadi pemangkin kepada perkhidmatan yang lebih cekap dan penuh empati; agar setiap denyut keresahan rakyat dapat diredakan, setiap pintu harapan dapat dibukakan, dan setiap komuniti, baik di kota mahupun desa benar-benar merasai bahawa kerajaan negeri tidak pernah jauh daripada kehidupan mereka,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MB Perak umum Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji penjawat awam


