IPOH — Penjawat awam di Perak menyambut baik serta meluahkan rasa syukur dengan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Isnin.
Mohd Sophian Jomhari, 50, menyifatkan bantuan itu sebagai satu penghargaan yang amat bermakna buat penjawat awam sepertinya yang sudah 13 tahun bertugas di negeri ini.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kerana memberikan satu bonus untuk Aidilfitri yang sangat menarik dan juga memuaskan hati seluruh penjawat awam di negeri Perak.
“Saya akan membelanjakan wang BKK itu bersama keluarga untuk membeli baju raya serta membuat persiapan hari raya pada tahun ini dengan meriah,” katanya ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Turut berkongsi kegembiraan sama ialah bapa kepada dua anak lelaki, Mohamad Akhmal Mohamad Akbar, 30, yang telah berkhidmat selama 10 tahun dengan kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, selepas mendengar Menteri Besar mengumumkan BKK Raya, sedikit sebanyak memberikan kegembiraan dalam hati saya.

“Duit BKK ini banyak membantu saya menjelang Aidilfitri, terutama untuk menyediakan duit raya bagi keluarga dan anak-anak. Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan negeri,” ujarnya.
Sementara itu, Husnadelwita Bustanuddin, 50, berkata, bantuan tersebut bukan sahaja membantu ketika musim perayaan, malah dapat digunakan bagi keperluan selepas raya.
“Bila dapat tahu BKK Raya ini memang pertama sekali, Alhamdulillah, syukur. Memang berterima kasih sangatlah kepada Menteri Besar yang bagi rezeki kepada kami.
“BKK ini bukan untuk dibelanjakan pada waktu raya sahaja, mungkin saya boleh guna selepas raya.
“Masa raya memang sudah banyak keluar duit, jadi selepas raya duit itu boleh digunakan untuk persekolahan anak-anak dan keperluan lain bagi menampung kami sekeluarga.

“Sekali lagi, terima kasih banyak-banyak kepada Menteri Besar kita,” katanya yang mula bertugas sebagai penjawat awam di Perak sejak tahun 1998.
Semalam, Saarani mengumumkan BKK sebanyak RM1,500 kepada 11,261 penjawat awam negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Katanya, bantuan khas itu turut diberikan kepada Exco Kerajaan Negeri, Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan, pegawai lantikan kontrak serta kakitangan di bawah Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).
Selain itu, beliau berkata, pembayaran BKK Hari Raya Aidilfitri 2026 turut akan dipanjangkan kepada semua guru Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Tradisional, pada kadar rata RM500 seorang.
Insentif berkenaan akan dibayar pada 16 Mac depan dengan implikasi kewangan berjumlah RM16.89 juta. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


