Penjawat awam perlu jadi penghubung dasar, keputusan kerajaan dengan rakyat – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap penjawat awam termasuk ketua-ketua jabatan agensi kerajaan turut menjadi penghubung terhadap keputusan dan dasar kerajaan dengan rakyat.

Perdana Menteri berkata, setiap keputusan dan dasar yang dibuat kerajaan tidak seharusnya terhenti hanya setakat mesyuarat Jemaah Menteri atau di peringkat kementerian atau jabatan kerajaan semata-mata.

Tegas beliau, penjawat awam termasuk ketua-ketua jabatan agensi kerajaan tidak hanya terikat dengan tugasan di jabatan masing-masing tetapi mempunyai iltizam perkhidmatan awam yang lebih jelas.

“Antara yang saya tegur ialah kadang-kadang keputusan kita (kerajaan) tidak sampai ke bawah (rakyat), jadi di bawah itu ada keresahan.

“Keputusan kita dalam Jemaah Menteri itu patut disampaikan, segala tindakan harus disampaikan, bukan sahaja dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Menteri, tetapi juga yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian, ketua-ketua jabatan dan sebagainya.

“Jika tidak, ada disconnected (terputus hubungan) dengan apa yang dilakukan di atas (kerajaan) yang tidak sampai ke akar umbi (rakyat),” katanya.

Beliau berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mac tahun 2025 di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini hari ini.

Menurut Anwar, gesaan itu juga terkait dengan usaha reformasi institusi yang sedang dilakukan kerajaan ketika ini termasuk menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Jelasnya, akta itu penting kerana ia akan menentukan pengasingan pentadbiran, pengurusan dan kuasa Parlimen yang bebas dari perkhidmatan kerajaan umumnya.

Tambahnya, RUU itu akan memberi ketetapan berhubung kematangan proses demokrasi dalam negara, sekali gus menunjukkan keupayaan kerajaan dalam memperbaiki sistem pentadbiran dan demokrasi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI