IPOH – Penjual mangga asam boi warga Bangladesh antara 26 yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menerusi beberapa operasi yang dilaksanakan bagi membanteras pendatang tanpa izin (PATI) di empat daerah sekitar negeri ini.
Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, operasi penguatkuasaan tersebut dilaksanakan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Ipoh dan Unit Penguatkuasa Pejabat Imigresen Teluk Intan bermula jam 9 pagi kelmarin dan tamat pada jam 3.30 pagi Khamis.
Menurutnya, sebanyak 15 premis diperiksa melibatkan kediaman, perniagaan, hotel dan refleksologi termasuk tepi jalan raya di sekitar daerah Kinta, Perak Tengah, Hilir Perak dan Bagan Datoh Perak.
“Serbuan dibuat berdasarkan aduan, pemantauan dan risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi JIM Perak di premis tersebut.
“Seramai 63 warga asing diperiksa menerusi Ops Selera, Ops Jaja, Ops Sapu, Ops Kutip dan Ops Gegar melibatkan 40 Pegawai Imigresen.
“Daripada jumlah itu, 26 orang daripada mereka ditahan terdiri daripada 11 orang warga Indonesia, enam warga Myanmar, tiga warga Bangladesh, tiga warga India, dua warga Thailand dan seorang warga Sri Lanka berusia antara 18 hingga 49 tahun.
“Kesemua warga asing terbabit ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, warga asing tersebut kemudiannya ditahan di Depot Imigresen Ipoh dan Depot Imigresen Langkap bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Katanya, mereka juga didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.
“Selain itu, mereka didapati melanggar Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal / berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PATI guna helah sakit jantung elak dicekup JIM