Penoreh getah mengaku bersalah cedera lelaki guna pisau

SUNGAI SIPUT – Seorang penoreh getah dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan tuan rumahnya menggunakan pisau pada Khamis lalu.

Tertuduh, Mohd Shah Rizal Yang, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan pada Isnin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan Muhammad Hairolnizam Osman, 44, dengan menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Kampung Lasah, di sini pada jam 11 pagi, 15 Ogos lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary manakala Mohd Shah Rizal diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.

Terdahulu, Vitthiyeswary menawarkan ikat jamin RM10,000 terhadap tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh tidak mendekati mangsa serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali.

Sementara itu, Siti Hajar dalam rayuannya memohon jaminan minimum diberikan kepada anak guamnya yang bekerja sebagai penoreh getah emas dengan gaji RM30 sehari.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Nurul Asyifa turut menetapkan 21 Oktober depan sebagai sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki cedera ditikam dengan pisau ketika bergelut dengan penyewa rumahnya di Kampung Lasah di sini.

Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, mangsa telah pergi ke rumah lelaki berusia 40 tahun itu berhubung tunggakan bayaran sewa rumahnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kes kematian Nuraina Humaira: Remaja lelaki Orang Asli direman tujuh hari

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI