Penting umat Islam amal gaya hidup sihat – Khutbah Jumaat Perak

IPOH – Islam memberi penekanan agar umatnya mementingkan amalan gaya hidup sihat kerana ia adalah suatu kewajipan yang dituntut serta menepati salah satu tujuan syarak iaitu memelihara nyawa.

Teks Khutbah Jumaat Negeri Perak memaklumkan, mengambil makanan secara seimbang bukan sahaja menguatkan badan malah dapat menghindarkan diri daripada pelbagai penyakit.

Katanya, malah Rasulullah SAW mengambil berat dalam berat soal pemakanan dan menasihatkan umat agar makanan diambil sekadar perlu.

“Penting untuk mengambil tahu ilmu pemakanan sihat dan seimbang agar dapat mengenal pasti bahan makanan serta jumlah kalori yang diperlukan oleh tubuh dalam sehari.

“Selain itu, ia dapat dijadikan panduan untuk mengawal pengambilan makanan setiap hari supaya tidak mengambil makanan melebihi had yang diperlukan, selari dengan amalan hidup sihat.

“Umat dinasihatkan agar mengambil makanan berkhasiat, mengamalkan pengambilan ulam-ulaman, jauhi makanan tinggi kandungan gula, lemak dan sebagainya,” katanya.

Teks Khutbah Jumaat bertajuk ‘Mengutamakan Kesihatan Suatu Ibadah’ disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu dibacakan di semua masjid dan surau diri Jumaat di negeri ini.

Selain itu teks berkenaan berkata, umat Islam juga dinasihatkan untuk mendapatkan tidur dan rehat yang cukup serta mengamalkan gaya hidup sihat seperti berjalan kaki 20 minit setiap hari.

Pada masa sama turut ditekankan agar masyarakat Islam untuk melakukan ujian kesihatan secara berkala agar dapat membantu mengesan sebarang penyakit pada peringkat awal sebelum ia menjadi mudarat.

“Umat Islam diingatkan untuk menjaga hubungan sesama insan dan mendampingi Allah SWT. Jauhi rasa hasad, dengki, dendam dan iri hati sesama manusia.

“Amalkan sikap bersyukur dan tumpang gembira atas kejayaan orang lain. Serahkan diri kepada Allah SWT ketika menghadapi ujian.

“Ibadah solat turut memberi manfaat kesihatan. Di samping gerakan jasmani, solat yang dikerjakan secara sempurna akan dapat menenteramkan jiwa,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Khutbah Jumaat Perak: Azam, usaha merugikan jika melakukan perkara mungkar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI