PARIT – Seorang lelaki terjatuh ke dalam gaung sedalam tujuh meter selepas motosikal dinaikinya berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Taman Parit Jaya, di sini, pada Jumaat.
Mangsa berusia 49 tahun, mengalami kecederaan patah peha kiri dan lengan kiri dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit pada jam 3.25 petang.
Beliau berkata seramai tujuh anggota dan sebuah jentera digerakkan ke lokasi dan tiba jam 3.29 petang.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Exora dengan sebuah motosikal jenis Honda Wave di mana penunggang motosikal dikatakan terbabas lalu jatuh ke dalam gaung sedalam 20 kaki (tujuh meter).
“Ketua operasi kemudiannya melakukan ‘size-up’ dan mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan menggunakan peralatan ‘scoop strecher’,” katanya dalam kenyataan.
Sabarodzi berkata, mangsa berjaya dinaikkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.08 petang. -MG Perak