IPOH – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggangnya berlanggar dengan kereta Perodua Viva di Jalan Menglembu Impiana 1, Taman Impiana Adril, di sini petang tadi.
Mangsa maut dikenali sebagai Mohamad Nabil Iqmal Abdullah, 17, manakala pemandu dan penumpang wanita yang menaiki kereta masing-masing berusia 34 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.11 petang.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira 15 minit kemudian.
“Ketika tiba di lokasi kita mendapati seorang lelaki maut manakala dua wanita yang menaiki kereta cedera. Salah seorang daripada wanita yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan kereta tersebut turut tersepit.
“Kita bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, penunggang motosikal terbabit yang disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak KKM diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan: