IPOH – Seorang penunggang motosikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) setelah terlibat dalam kejadian kemalangan di Jalan Persiaran Hillview, di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pihak hospital pada jam 10.15 pagi semalam berhubung kematian mangsa yang telah seminggu menerima rawatan di hospital tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan sekitar jam 2 petang, 31 Julai lalu itu berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal bersendirian datang dari arah Jalan Persiaran Hillview menghala ke Jalan Hillview.
“Bagaimanapun, apabila sampai di tempat kejadian motosikal ditunggang mangsa telah hilang kawalan dan terbabas menyebabkan mangsa jatuh ke dalam longkang bersama-sama motosikalnya.
“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dihantar ke HRPB untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan diri serta semua pengguna jalan raya.
“Orang ramai yang menyaksikan kemalangan ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Syafiq Fauze di talian 013-671 3177 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nenek maut motorsikal terbabas ketika cuba elak anjing lintas jalan