IPOH – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di First Garden di sini pada Ahad.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.35 tengah hari
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut.
“Setibanya, anggota di lokasi didapati berlaku kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Wira dan motosikal jenis Honda Wave.
“Kita mendapati penunggang motosikal warga emas berusia 60 tahun terperosok di bawah kereta.
“Ketua operasi melakukan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER seterusnya mengeluarkan mangsa dan dialihkan ke bahu jalan,“ katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya jam 1.30 petang,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki parah terkena parang ketika tebang pokok di atas bukit


