KAMPAR – Seorang penuntut lelaki sebuah universiti swasta di sini parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri 16 tingkat di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam selepas mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di bahagian parkir pangsapuri berkenaan sekitar jam 8.30 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 18 tahun itu tinggal bersendirian dan baru menyewa di pangsapuri itu kira-kira sebulan lalu.
“Menerusi maklumat yang diperoleh, mangsa dipercayai demam dan pening menyebabkan dia tidak dapat mengawal diri lalu terjatuh.
“Hasil siasatan di bilik mangsa telah menemui pelbagai jenis ubat-ubatan yang masih baru,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan lanjut dan ibu mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai insiden tersebut.
“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal namun stabil,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Allahyarham Mustaqqeem ditemukan dalam keadaan tidur menahan kesejukan